Kemas kini hal rombakan Kabinet tidak dibangkitkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Soal mengenai rombakan Kabinet tidak dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet semalam, menurut dua menteri yang menghadiri mesyuarat itu.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet disentuh dalam mesyuarat mingguan Kabinet semalam.

“Tidak... di peringkat ini tidak ada,” kata Zuraida.

Menurut Guan Eng pula, mesyuarat Kabinet dan pertemuan pemimpin komponen Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam hanya membincangkan soal berkaitan urusan kerajaan.

"Perjumpaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir semalam dengan menteri-menteri kerajaan semalam adalah berkaitan urusan kerajaan, tidak ada kaitan dengan apa yang disebut (soalan wartawan),” kata Guan Eng yang menjawab soalan mengenai isu rombakan Kabinet.

Zuraida dan Guan Eng ditemui media selepas menghadiri mesyuarat kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di sini hari ini.

Beberapa laporan berita hari ini melaporkan mengenai rombakan Kabinet yang dijangka berlaku pada bila-bila masa dan beberapa nama pemimpin disebut-sebut akan menerajui beberapa kementerian dan portfolio baharu.

Guan Eng turut ditanya jika terdapat sesi pertemuan antara Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed yang diura-urakan akan dimasukkan ke dalam barisan Kabinet baharu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata: “Saya tidak tahu, tapi yang saya jumpa semalam dengan Perdana Menteri tidak ada sebut langsung mengenai apa yang disebut (pemberita mengenai Mustapa), bukan sahaja semalam tapi sebelum ini tidak pernah dibangkitkan.”

Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, menafikan bahawa parti DAP ada menghantar senarai ahli menteri Kabinet untuk dipilih Dr Mahathir.

“Tidak pernah sama sekali kerana Kabinet sudah ada, Kabinet yang ada kekal daripada pihak DAP, jadi senarai yang ada kekal seperti yang sudah ada dan pihak DAP dan saya tidak hantar apa-apa senarai nama,” katanya.

Menurut Guan Eng, perkara berkaitan rombakan Kabinet adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Tun (Dr Mahathir) telah menjawab perkara ini berkali-kali, saya rasa rujuklah apa yang disebut oleh beliau.. saya bukan Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai desas-desus rombakan Kabinet dan turut menegaskan sama ada berlaku atau tidak, ia merupakan kuasa Perdana Menteri.

“Tiada sesiapa boleh beri ulasan kecuali Perdana Menteri,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita.

Anthony berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program kibar Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Seremban di Seremban, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan Dr Mohamad Rafie Ab Malek. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!