Pihak ketiga urus taman industri di Perak

Mohammad Nizar (kanan) dan Lokman Hakim (kiri) ketika melawat Kilang Nihon Canpack (Malaysia) di Taman Perindustrian Bemban hari ini.
Mohammad Nizar (kanan) dan Lokman Hakim (kiri) ketika melawat Kilang Nihon Canpack (Malaysia) di Taman Perindustrian Bemban hari ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan Perak akan melantik syarikat yang mempunyai kepakaran menguruskan taman industri di negeri ini bagi memastikan pelabur terus kekal di negeri ini.

Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan penyelenggaraan taman industri yang sedia ada dilakukan dengan baik sekali gus meringankan beban yang selama ini ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, selama ini taman-taman industri berkenaan diselenggara dan dikendalikan pihak PBT namun dilihat tidak dapat disempurnakan dengan baik.

"Masalah yang pelabur beritahu kepada saya kebanyakannya adalah dari segi senggaraan dan kendalian tapak-tapak industri yang mereka berada pada hari ini.

"Kerajaan negeri perlu melihat perkara ini sebagai satu masalah besar supaya pelabur tidak rasa tawar hati untuk melabur dan membesarkan pelaburan mereka di taman-taman industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kilang Nihon Canpark (Malaysia) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Bemban di sini hari ini.

Mohammad Nizar pada sidang media di Kilang Nihon Canpack (Malaysia) di Taman Perindustrian Bemban hari ini.
Mohammad Nizar pada sidang media di Kilang Nihon Canpack (Malaysia) di Taman Perindustrian Bemban hari ini.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap dan Ketua Pegawai Eksekutif Nihon Canpack (Malaysia) Sdn Bhd, Wolfgang Joseph Reitz.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Nizar berkata, dengan adanya kepakaran dan pengendalian baharu oleh syarikat yang dilantik sekali gus meringankan beban ditanggung PBT.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri belum memilih syarikat yang akan mengendalikan taman-taman industri ini mengikut lima zon ditetapkan.

"Syarikat yang dipilih nanti akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap taman-taman industri ini untuk memberikan keselesaan dan kehendak para pelabur," katanya.

Sementara itu, mengenai projek penyaluran gas ke Lembah Kinta daripada Manjung, Ahmad Hashimi berkata, sehingga kini projek tersebut sudah 77 peratus siap dan dijangka akan disempurnakan pada pertengahan tahun hadapan.

"Beberapa syarikat dan kilang di Perak telah pun menggunakan gas asli cecair (LNG) sejak April lalu termasuklah Nihon Canpack (Malaysia) Sdn Bhd.

"Kami menyasarkan pada tahun ini sebanyak 30 hingga 50 syarikat akan menggunakan gas LNG," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!