LKTN yakin produk kenaf berpotensi tarik pelabur luar


Wan Abdul Rahim ketika berucap merasmikan program Bicara Kenaf di sini hari ini.
Wan Abdul Rahim ketika berucap merasmikan program Bicara Kenaf di sini hari ini.
A
A
A

JELI - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yakin potensi besar di sebalik tanaman dan produk berasaskan kenaf yang dihasilkan mampu menarik lebih ramai pelabur ke negara ini.

Pengerusinya, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kepelbagaian produk berasaskan kenaf yang berjaya dihasilkan sehingga kini menyebabkan keperluan terhadap tanaman berkenaan begitu tinggi.

"Kalau di peringkat awal dahulu kita banyak mengeksport fiber kenaf, tapi kini pelbagai produk berjaya dihasilkan daripada tanaman komoditi ini menyebabkan permintaan terhadapnya semakin meningkat.

"Kita ada kilang menghasilkan barangan boleh urai (biodegradable) yang mendapat permintaan tinggi dari pihak industri selain kilang tilam kenaf di Pulau Pinang, dan beberapa kilang memproses lain di beberapa negeri seperti Kedah dan Terengganu," katanya.

Wan Abdul Rahim sebelum itu menghadiri program Bicara Kenaf di Pusat Rekreasi Gunung Reng di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Rahim berkata, tidak sekadar itu, tanaman kenaf diusahakan juga turut digunakan dalam Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan menggunakan 90 peratus empulur tumbuhan berkenaan.

"IBS ini bukan sahaja mempercepatkan tempoh pembinaan sesebuah rumah malah turut menjimatkan masa," katanya.

Tambahnya, LKTN juga mempunyai kilang memproses kenaf Thermo Bonding di Saujana Setiu bernilai RM25 juta yang banyak menyumbang kepada penghasilan pelbagai produk berasaskan kenaf di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Wan Abdul Rahim berkata, dengan pencapaian yang sedang dilalui industri kenaf negara kini pihaknya yakin ia akan menarik pelabur untuk mengusahakan tanaman berkenaan secara lebih komersial di negara ini pada masa akan datang.

Menurutnya, sehingga kini terdapat lebih 2,000 hektar tanaman kenaf yang diusahakan oleh lebih 2,000 penanam di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah LKTN Kelantan, Nik Muhammad Azhar Nik Mustapha berkata, sehingga kini terdapat kira- kira 400 hektar tanaman kenaf di Kelantan dan pihaknya mengalu- alukan penyertaan orang ramai untuk mengusahakan tanaman tersebut.

"Peruntukan yang ada membolehkan 630 hektar secara keseluruhan diusahakan di negeri ini, sebab itu kita alu-alukan sesiapa sahaja untuk usahakan tanaman kenaf jika mempunyai kawasan bersesuaian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!