Cerai isteri talak tiga kerana gula-gula getah
LUCKNOW - Seorang lelaki di India menjatuhkan talak tiga ke atas isterinya di kawasan pekarangan sebuah mahkamah sivil di India selepas wanita itu enggan menerima gula-gula getah yang diberikan olehnya.
Kejadian itu berlaku pada Isnin lalu apabila Simmi, 30, dari perkampungan Amrai bersama suaminya, Syed Rashid yang dikahwini pada 2004 hadir di Mahkamah Sivil Lucknow untuk perbicaraan kes wang hantaran yang difailkan ke atas mertuanya.
Wanita itu sedang bercakap dengan peguam bela ketika suaminya memberikan gula-gula getah tersebut, namun ditolak olehnya.
Dalam keadaan marah, Rashid terus menceraikan isterinya dengan talak tiga di hadapan peguam terbabit.
Susulan itu, sebuah kes telah difailkan ke atas Rashid di bawah pelbagai Akta Wanita Islam (Perlindungan Hak Perkahwinan) 2019 dan satu siasatan turut dilancarkan.
Julai lalu, Parlimen India meluluskan rang undang-undang melarang cerai talak tiga yang dianggap sebagai kesalahan jenayah.
Pada 2017, Mahkamah Agung turut mengisytiharkan amalan itu sebagai tidak berperlembagaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!