Jangan beri muka kepada penoda Jalur Gemilang
KURANG lebih seminggu lagi negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-62. Namun, kehadiran ulang tahun ibu pertiwi tercinta itu dicemari dengan insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik.
Hampir setiap hari gambar Jalur Gemilang terbalik dikongsikan di media sosial. Luluh hati melihat simbol kemegahan negara dinodai oleh tangan-tangan jahat yang tidak bertanggungjawab!
Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa semua ini berlaku?
Merujuk kes di sebuah sekolah di Pahang, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, kejadian itu merupakan insiden yang tidak disengajakan kerana Jalur Gemilang dipasang oleh pekerja warga asing.
Kita mungkin boleh terima penjelasan Ketua Polis Negara berhubung kes di Pahang itu tetapi bagaimana pula dengan kes lain yang melibatkan syarikat swasta, organisasi tertentu dan pemilik sebuah van?
Adakah ia juga dilakukan oleh pekerja asing? Kalau benar perkara tersebut berlaku disebabkan punca yang sama, berapa ramai pekerja asing di negara ini yang tidak kenal bendera Malaysia?
Dalam kes bendera terbalik yang juga termasuk dalam terma flag desecration itu kerajaan tidak seharusnya berdiam diri. Undang-undang perlu dikuatkuasakan dan perlakuan menodai Jalur Gemilang itu perlu diklasifikasikan sebagai jenayah.
Mereka yang melakukan flag desecration seperti membakar, memijak, mengoyakkan, mempersendakan dan memasangnya tidak mengikut protokol perlu dihukum!
Pengajaran perlu diberikan kepada mana-mana individu yang melakukannya, termasuk warga asing supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang. Tunjukkan Malaysia juga tidak berkrompromi dengan perlakuan seumpama ini. Paling penting, jangan beri muka kepada pelaku!
Di Algeria, flag desecration diklasifikasikan sebagai jenayah. Begitu juga dengan Korea Selatan, Ukraine dan Argentina. Jadi, bagaimana pula dengan Malaysia? Sampai bila kita mahu berdiam dengan isu flag desecration ini?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!