Wanita PKR mahu tawan Terengganu
KUALA TERENGGANU - Wanita PKR Terengganu berazam mahu menjadikan negeri ini sebagai salah satu negeri yang ditadbir oleh kerajaan PH dalam PRU15 nanti.
Ketuanya, Sharifah Norhayati Syed Omar Alyahya berkata, dalam merealisasikan hasrat itu, pihaknya kini berusaha menambah keahlian wanita sehingga 30,000 orang.
Menurutnya, sehingga kini Wanita PKR Terengganu mempunyai keahlian kira-kira 9,000 orang dan beliau percaya misi menambah jumlah keahlian itu mampu dicapai.
“Misi saya jelas adalah untuk tawan Terengganu dalam PRU15, saya tidak rela lagi Terengganu jadi negeri pembangkang dalam PH,” katanya selepas hadir ke Mesyuarat Wanita PKR Terengganu di Hotel Sumai, hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Shamsiah Brahim dilantik sebagai Timbalan Ketua Wanita PKR negeri manakala Roskatini Mat Hassan, Noor Salwani Harun dan Nor Azlinda Abas dipilih sebagai Naib Ketua Wanita PKR negeri.
Mengulas lanjut, Sharifah Norhayati berkata, selain menambah keahlian, beliau juga akan turun padang dalam siri jelajah ke setiap Dun bermula Januari ini dan mengadakan program Back To School di setiap daerah.
“Harapan saya agar jawatankuasa Wanita PKR yang dilantik ini akan menjadi titik mula ke arah memperjuangkan dan mengangkat agenda wanita ke arah penambahbaikan dan terkehadapan.
“Saya dengan rendah hati menyeru semua wanita dari semua peringkat dan kerjaya terutamanya golongan profesional untuk bersama saya menyumbang tenaga dan bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!