Rogol amah: Mangsa sedia lalui proses perbicaraan
IPOH - Pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirinya dirogol seorang Exco Kerajaan Perak bersedia untuk menghadapi proses perbicaraan di mahkamah.
Perkara itu dimaklumkan Konsulat Kedutaan Indonesia di Malaysia yang ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Wakilnya, Sabda Tian berkata, keadaan wanita berusia 23 tahun itu semakin pulih sepanjang berada dibawah pemantauan Kedutaan.
"Keadaan mangsa semakin membaik dari segi mental dan moralnya, dia juga siap dan kuat untuk hadapi proses sidang (perbicaraan) seterusya," katanya.
Beliau hadir ke mahkamah bersama seorang lagi wakil bagi mengikuti pertuduhan terhadap Exco Pengangkutan awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan dakwaan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut Sabda Tian berkata, pihaknya berpuas hati dengan perkembangan siasatan kes itu dan merakamkan ucapan kasih atas kerjasama baik diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, kes-kes seumpama itu sememangnya akan diberikan perhatian serius oleh pemerintah Indonesia terutama membabitkan pekerja domestik.
"Kita ikuti kes ini sejak awal dan sudah tentu harapan kita di pihak Indonesia sangat tinggi, namun kita serah segalanya kepada Malaysia untuk mengendalikannya," katanya.
Beliau mengakui, kes berkenaan mendapat liputan meluas di negara berkenaan.
"Penerimaan keluarga sudah tentu mereka terkejut atas kejadian yang menimpa anak perempuan mereka, tetapi kita ikuti semua proses yang dijalankan di Malaysia," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah
ARTIKEL BERKAITAN: Rogol amah: Exco Perak dihadap ke mahkamah esok
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!