Melaka tak kompromi individu perlekeh Jalur Gemilang
JASIN - Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memperlekehkan Jalur Gemilang.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, tindakan itu diambil berdasarkan peraturan-peraturan sedia ada kerana Jalur Gemilang adalah aset bernilai dan menjadi kebanggaan negara.
Menurutnya, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka bukan sahaja bertanggungjawab memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan pentadbiran masing-masing, namun perlu memantau supaya perkara tidak diingini berlaku termasuk Jalur Gemilang terjatuh di atas jalan.
Selain itu katanya, bendera rasmi negara itu perlu dikibarkan di lokasi strategik dan bukannya di kawasan semak-samun sehinggakan tidak dapat dilihat sekali gus tidak membawa manfaat kepada sesiapa.
"Pihak yang sengaja memperlekehkan bendera, memang kita tidak boleh bertolak ansur dan kalau serius kita akan mengambil tindakan mengikut peraturan yang ada sebab itu di peringkat PBT, saya tekankan kita bukan sekadar tugas menggantung bendera, namun bertanggungjawab memantau bendera-bendera yang telah dikibarkan," katanya.
Kok Kiew berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Jalur Gemilang Peringkat Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Dewan Alamanda MPJ di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banda Hilir tidak menolak segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan cuba memburukkan keadaan berhubung insiden bendera Jalur Gemilang yang dikibarkan terbalik.
"Mereka yang tidak sengaja pasang terbalik, kita didik dan ajar mereka tapi ada pula yang nak melagakan contoh gambar bendera terbalik di Johor pada tahun 2016 ditularkan semula.
"Apakah tujuan dan niat mereka? Bagi saya dia dah gantung salah, dia boleh gantung dan betulkan semula sebab dia tidak sengaja kerana saya yakin tidak ada orang mahu kibarkan bendera terbalik," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kok Kiew berkata, aspek kebersihan di negeri ini boleh diperbaiki ke tahap lebih baik walaupun Melaka telah mencatat kejayaan sebagai antara negeri terbersih termasuk mendapat penarafan lima bintang dari aspek pentadbiran dan kebersihan oleh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018.
Malah menurutnya, empat PBT di negeri ini turut mencatat skor purata 90 peratus ke atas dari aspek kebersihan di peringkat majlis pentadbiran.
"Kita percaya menerusi kempen #IniRumahKita yang dicetuskan Ketua Menteri, Adly Zahari, kempen kebersihan termasuk bergotong-royong, kebersihan tandas dan rumah ibadat akan terus dipertingkatkan termasuk di peringkat PBT," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!