[DIKEMASKINI] PH buat pinjaman RM58 bilion untuk bayar hutang kerajaan terdahulu: Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pinjaman tambahan kerajaan sebanyak RM58 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini digunakan antara lain untuk membayar komitmen berterusan yang dibuat oleh pentadbiran terdahulu, termasuk pembayaran balik hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata tidak seperti kerajaan sebelum ini, yang menyembunyikan pembayaran pinjaman 1MDB daripada orang awam, kerajaan sekarang cuba lebih telus dengan menyatakan fakta sebenar, termasuk hal-hal yang berkaitan kewangan.

"Kami (kerajaan semasa) sangat terbuka dan telus, dengan menunjukkan hutang sebenar. Bukan hanya hutang sebenar, malah liabiliti kontinjen dan jaminan kerajaan.

"Sikap keterbukaan dengan menunjukkan kedudukan sebenar kewangan membolehkan agensi penarafan kredit antarabangsa untuk terus menaruh keyakinan terhadap Malaysia, dan mereka tidak menurunkan penarafan kredit Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kelab syarikat sosial Yayasan AirAsia di sini hari ini.

Guan Eng berkata kerajaan terdahulu menyembunyikan hakikat bahawa mereka membayar pinjaman 1MDB.

"Hanya apabila kerajaan baharu mengambil alih, baru kita tahu mereka (kerajaan terdahulu) telah membayar pinjaman 1MDB," katanya, menambah bahawa sebarang peningkatan hutang semasa juga disebabkan oleh komitmen sedia ada untuk perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata banyak perbelanjaan pembangunan yang diwujudkan oleh kerajaan terdahulu yang perlu diteruskan oleh kerajaan baharu.

"Sehingga pelan tiga tahun ini selesai, kami perlu memenuhi komitmennya dan pada masa yang sama, kami berharap dapat melaksanakan projek infrastruktur pembangunan (yang lain) yang akan menjadi sangat penting bagi negara dalam jangka panjang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng berkata prestasi ekonomi Malaysia setakat ini menunjukkan bahawa negara tidak sahaja mengatasi unjuran pasaran, bahkan pelaburan asing kembali memasuki negara.

Sementara itu, kelab sosial Yayasan AirAsia, Destination: GOOD, menjual lebih 400 barangan bertanggungjawab dan beretika yang diperoleh dari 30 syarikat sosial di ASEAN.

Yayasan itu juga menandatangani memorandum persefahaman dengan Kraftangan Malaysia untuk membawa kraf Malaysia kepada khalayak baharu, dan dengan Minconsult Sdn Bhd, rakan kongsi korporat pertama yang berpengalaman di AirAsia, bersama-sama membiayai aktiviti sosial di seluruh dunia.

Terdahulu dalam ucapannya, Guan Eng berkata Yayasan Airasia melabur RM2.1 juta dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menjadikan kelab itu sebagai hab keusahawanan sosial.

"Pada masa ini, Yayasan AirAsia mempunyai 26 penerima dari tujuh negara menerima geran sosial syarikat dengan setiap penerima dana menerima US$20,000 (US$1=RM4.18) selama setahun.

"Setiap geran secara langsung memberi manfaat kepada 100 orang yang terlibat dengan perusahaan sosial. Saya diberitahu jumlah ini akan meningkat hasil kerjasama Kraftangan Malaysia (melalui MoU)," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!