Golongan anti merdeka umpama saki-baki penjajah, komunis: Hadi
MARANG - Pas menganggap golongan anti kemerdekaan yang menghina Jalur Gemilang sebagai pendendam malah menyifatkan mereka sebagai saki-baki penjajah dan bekas komunis.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bendera adalah simbol bagi sebuah negara dan seluruh rakyat Malaysia perlu menghormati simbol sesebuah negara itu.
"Tidak kira siapa. Semua rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa perlu menghormati Jalur Gemilang. Anak anak muda (pula) perlu menghayati erti kemerdekaan negara.
"Jadi mereka yang anti kemerdekaan ini (adalah) saki-baki penjajah dan bekas komunis. Bekas komunis yang dendam terhadap mereka yang lawan komunis," katanya pada sidang media di kediamannya di Rusila hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas menghargai tentera yang menentang komunis dan perjuang-pejuang kemerdekaan termasuk orang Cina, India yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan.
"Kita hormati dan Jalur Gemilang adalah persetujuan bersama mereka yang memperjuangkan kemerdekaan itu.
"Kita menghargai, orang Pas masa itu parti pembangkang, bukan kerajaan, hanya satu kerusi sahaja pada masa itu tahun 1955," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu.
Beliau berkata, Pas menerima kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan itu dengan cara yang betul dan bukannya dengan cara mencabut bendera atau memusing terbalikkan bendera keramat itu.
"Bendera itu tetap kita pertahankan. Apa lagi bendera itu ada simbol simbol dia, simbolik (maksud) sesebuah bendera ini ada maknanya," katanya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu meminta Polis Diraja Malaysia dan kerajaan agar bertindak dengan tegas dalam hal tersebut kerana bendera adalah simbol bagi sesebuah negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!