Johor mahu selesai rumah tidak terjual: Exco
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mempunyai penyelesaian tertentu bagi membantu pemaju perumahan mengurangkan jumlah hartanah tidak terjual di negeri ini, kata Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad
Beliau berkata, pada masa ini terdapat 51,459 unit hartanah tidak terjual di Johor dengan anggaran melebihi RM36 bilion.
Menurutnya, penyelesaian jangka pendek ini akan dilaksanakan selama setahun untuk melihat sama ada ia dapat mengurangkan sebahagian daripada jumlah keseluruhan.
"Saya baru-baru ini bertemu dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Johor (Rehda Johor) dan memberitahu mereka bahawa kerajaan telah memperkenalkan pasukan petugas untuk menangani isu-isu harta tidak terjual bagi membantu pemaju.
"Bagaimanapun, insentif-insentif ini masih perlu dibincangkan dan diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan hartanah yang tidak terjual di Johor.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu menyempurnakan Program Free Market dan Sambutan Kemerdekaan 2019 di Taman Universiti, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, antara langkah penyelesaian lain isu tersebut adalah mengurangkan tempoh menunggu untuk pelepasan kuota Bumiputera dari satu tahun kepada hanya enam bulan untuk rumah yang berharga lebih daripada RM600,000.
"Ini bermakna, kita akan memendekkan tempoh syarat pelepasan yang mana kini 12 bulan kepada enam bulan. Bagaimanapun, ia tetap tertakluk kepada keputusan secara kolektif majlis kerajaan negeri.
"Penyelesaian kedua adalah peringkat kelulusan yang mana pada masa ini terdapat tiga peringkat kelulusan dan kami telah mengubahnya menjadi hanya dua peringkat. Penyelesaian ketiga adalah untuk mengurangkan harga lantai asing dari RM1 juta sekarang kepada minimum RM600,000," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!