Masjid Saujana Puchong dijangka dibina Julai depan

Mohd Sharif (empat, kiri) bersama jawatankuasa pembinaan Masjid Saujana Puchong menunjukkan pelan pembangunan projek yang diperjuangkan sejak 2013.
Mohd Sharif (empat, kiri) bersama jawatankuasa pembinaan Masjid Saujana Puchong menunjukkan pelan pembangunan projek yang diperjuangkan sejak 2013.
A
A
A

PUCHONG - Projek pembinaan Masjid Saujana Puchong dijangka dimulakan Julai depan selepas proses mengemukakan permohonan dibuat kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling selesai.

Ketua Teknikal Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Saujana Puchong (JKPPMSP), Osmawi Yahya berkata, sekurang-kurangnya tempoh tiga bulan diperlukan untuk kelulusan tersebut.

Menurutnya, dianggarkan sebanyak RM6.32 juta diperlukan bagi pembinaan masjid tersebut bagi menampung penduduk dianggarkan 20,000 yang tinggal sekitar sini termasuk Taman Saujana Puchong, Mutiara Indah, Kampung Orang Asli dan Laman Grainview.

"Anggaran kos itu mungkin berubah bergantung kepada semakan oleh Jabatan Kerja Raya namun kami berdoa anggaran awal itu menepati kos sebenar bagi membolehkan projek berjalan lancar.

"Reka bentuk sedia ada memenuhi keperluan semasa mampu menampung sehingga 2,000 jemaah dan tambahan penduduk pada masa akan datang. Insha-ALLAH jika tiada sebarang masalah pembinaan ambil masa antara 18 dan 24 bulan untuk siap," katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi JKPPMSP, Azrin Azizuddin berkata, jawatankuasa lega apabila peruntukan RM3 juta di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang ditarik September lalu disambung semula selepas rayuan dibuat.

Surau Nurul Iman dijadikan surau solat Jumaat bagi menampung kemudahan penduduk berhampiran.
Surau Nurul Iman dijadikan surau solat Jumaat bagi menampung kemudahan penduduk berhampiran.

"Isu pembatalan dana bagi merealisasikan pembinaan masjid yang mula digerakkan sejak 2013 tular di media sosial sedangkan hal itu tidak dapat kami sahkan memandangkan tidak menerima pemakluman secara bertulis berhubung hal tersebut .

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah selepas pembentangan rayuan dibuat bulan lepas kelulusan itu disambung semula. Kita nak maklumkan status masjid kini mendapat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam (Jais) dan ICU menyambung semula peruntukan diberikan," katanya.

Menurutnya, JKPPMSP mengatur pelbagai program termasuk makan malam amal yang akan diadakan bagi mengumpul dana melengkapkan kos projek disasarkan.

Sementara itu, Penasihat Masjid Daerah Petaling merangkap Ketua Kampung Batu 14 Puchong, Datuk Mohd Sharif Iskandar berkata, sebanyak RM300,000 hasil kutipan daripada penduduk terkumpul dengan harapan projek masjid tersebut mampu dijayakan.

“Kerajaan negeri turut mengambil maklum berhubung projek ini melalui Adun Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud yang sedia berganding bahu dan membantu dalam pembinaan ini.

"Harapan saya perkara ini jadi kenyataan, saya bangga dengan jawatankuasa yang berusaha keras memastikan terbangunnya Masjid Saujana Puchong walaupun berdepan pelbagai rintangan," katanya.

Surau Nurul Iman dibina sejak 2005 kini dijadikan surau Jumaat tidak lagi mampu menampung kepadatan jemaah menyebabkan jawatankuasa pembinaan masjid dibentuk bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!