Anwar gesa henti himpunan Say No to Zakir Naik
SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penganjur himpunan Say No to Zakir Naik serta himpunan lain untuk menghentikan tindakan penganjuran itu.
Menurutnya, tiada keperluan untuk melakukan himpunan tersebut apabila pendakwah bebas, Dr Zakir Naik sudah dilarang untuk berceramah seluruh negara.
“Saya gesa penganjur himpunan untuk hentikan penganjuran kerana keadaan sudah reda.
“Zakir Naik juga sudah dilarang untuk berceramah di seluruh negara oleh pihak polis maka meneruskan bantahan tersebut hanya akan meningkat serta memanaskan suhu politik negara sekali gus mengundang pelbagai reaksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh untuk menyertai himpunan tersebut.
“Ia bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya.
Perhimpunan Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians and Other Races dijadualkan di Brickfields, di Kuala Lumpur esok.
Polis juga dalam kenyataan terdahulu, menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan Bantah Tulisan Khat Untuk Sekolah Tamil dan Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians and Other Races.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!