'Abang Bomba' tawan dua puncak tertinggi Iran

Mohd Fakhrul (empat dari kiri) bersama lapan pendaki dari Malaysia dan Singapura tiba di puncak Gunung Damavand.
Mohd Fakhrul (empat dari kiri) bersama lapan pendaki dari Malaysia dan Singapura tiba di puncak Gunung Damavand.
A
A
A

HULU SELANGOR - Sejarah tercipta apabila bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya dikibarkan di dua puncak tertinggi Iran iaitu di Gunung Damavand dan Gunung Alam Kuh.

Kejayaan tersebut dilakukan jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Pegawai Bomba Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 37, bersama lapan pendaki Malaysia dan Singapura.

Mohd Fakhrul Munir berkata, kesemua mereka tiba di puncak Gunung Damavand yang berketinggian 5,610 meter pada jam 1.30 petang semalam, selepas menawan Gunung Alam Kuh yang berketinggian 4,850 meter pada 16 Ogos jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Ujarnya, misi pendakian tersebut dilakukan bersempena dengan sambutan Hari Anggota Bomba yang diraikan baru-baru ini.

"10 tahun yang lalu saya berjaya mengibarkan bendera JBPM di puncak Gunung Kalapatthar setinggi 5,545 meter dan di Everest Base Camp, Nepal pada 2009.

"Bagi misi ke puncak Gunung Damanvand, pendakian memakan masa hampir 15 jam bermula jam 3 pagi dengan suhu di bawah takat beku dan angin kuat.

"Saya berhasrat melakukan pendakian amal menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua termasuk Gunung Everest untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba," katanya kepada Sinar Harian.

Ketua ekspedisi dari GL Asia Adventure Tour Sdn Bhd, Mohd Hafiz Bachok berkata, ekspedisi tersebut turut disertai enam pendaki lain yang mengiringi sehingga ke Kem Induk Damanvand.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, usaha berkenaan juga sebagai memperkenalkan produk eko pelancongan Iran kepada rakyat negara ini kerana Gunung Damavand jarang didaki pendaki Malaysia.

"Kami juga ke Bandar Isfahan yang terkenal dengan sejarah dan kebudayaan Iran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!