Menggilap belia untuk kemajuan negara: PM
PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan belia memainkan peranan penting dalam semua aspek program dan inisiatif baharu kerajaan untuk memajukan negara.
Perdana Menteri berkata, program berkenaan termasuk yang memerlukan mereka mengambil bahagian secara langsung atau khusus yang bertujuan untuk memperkasakan mereka.
"Harapan saya, melalui semua ini, kita akan dapat memanfaatkan semua nilai positif belia - idealisme, semangat, komitmen dan dedikasi dan sebagainya.
“Namun bagi menyemai nilai-nilai ini, mereka perlu digalakkan dan diberi laluan terbaik untuk pendidikan berkualiti dalam kalangan mereka," kata beliau semasa berucap pada majlis makan malam sambutan ulang tahun keempat MyPerintis, di sini malam ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pengasas MyPerintis Datuk Lawrence Low.
Dr Mahathir, yang juga penaung MyPerintis berkata, adalah menjadi harapan kerajaan, generasi muda akan sentiasa dapat menghadapi cabaran, berani meneroka potensi mereka sepenuhnya, memberi impak serta menyokong perubahan yang bermakna dan progresif.
"Oleh itu, adalah menjadi harapan saya untuk melihat lebih banyak program yang memberi penekanan terhadap pendidikan, kebolehpasaran, keusahawanan, seni dan budaya serta kesukarelawan," katanya.
Mengambil contoh buku 'Trailblazing Change: The Rise of Malaysian Future Shifter' yang ditulis oleh Low yang dilancarkan sejurus selepas ucapannya, Dr Mahathir berharap buku itu akan memberi inspirasi kepada orang lain agar dapat terus membentuk masa depan mereka secara positif walaupun melalui jatuh bangun sepanjang kehidupan mereka.
Perdana Menteri berumur 94 tahun itu berkata pada usianya, beliau telah melihat banyak kejayaan dan kegagalan dengan ada yang cemerlang dan mencatat kejayaan demi kejayaan tetapi ramai juga yang gagal dan kecundang.
Bagaimanapun, beliau berkata, orang-orang yang mampu bangkit, bersungguh-sungguh dan mengatur semula hala tuju mereka yang paling memberi inspirasi.
"Saya tidak mengatakan bahawa anda mesti gagal dahulu untuk mencari kejayaan. Apa yang penting adalah apabila menghadapi kegagalan anda tidak boleh menyerah kalah dan menjadikannya peluang untuk mempelajari suatu yang baharu dalam hidup.
"Apabila anda berjaya, jangan berpuas hati dengan kejayaan dan percaya bahawa ia akan kekal selama-lamanya," kata beliau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!