Menteri campur tangan siasatan polis, pendakwaan?
SHAH ALAM - Keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas mengarahkan inkues terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim menimbulkan persoalan dan pertikaian.
Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hassan mempersoalkan kenapa perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukan oleh Thomas sendiri.
Katanya, ia memberi persepsi kepada rakyat bahawa menteri campur tangan terhadap siasatan polis dan pendakwaan Peguam Negara.
Beliau turut mempersoalkan tujuan inkues itu dijalankan, sedangkan polis sedang atau masih menyiasat kematian arwah Muhammad Adib sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Adakah Peguam Negara sudah tidak percaya dengan kredibiliti dan kecekapan pihak polis melakukan tugas siasatan kes bunuh ini?
"Sudah tentu satu tindakan menyiasat 'punca kematian' dan menyiasat 'siapa yang menyebabkan kematian' arwah Muhammad Adib merupakan objektif yang berlainan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad turut menggesa polis menyelesaikan siasatan kes itu segera, manakala pihak Pejabat Peguam Negara sebagai pendakwa raya juga perlu tegas dalam siasatan.
"Ia bagi menentukan sama ada arwah Muhammad Adib dibunuh, siapa tertuduhnya dan bukan menggunakan prosiding inkues kematian oleh sebuah Mahkamah Koronor bagi tujuan bagaimana arwah meninggal dunia dan bukan mencari pembunuhnya.
"Rakyat sekarang melihat sama ada kerajaan ini mematuhi 'Rule of Law' atau hanya menggunakan prosedur undang-undang bagi melenggah-lenggahkan keadilan," katanya.
Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam 17 Disember lalu, selepas tiga minggu mendapatkan rawatan.
Arwah sebelum ini dilaporkan cedera parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, 27 November lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!