Guna tulisan jawi pada produk ada sijil halal Jakim
ALOR SETAR - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah mencadangkan agar penggunaan tulisan jawi dibenarkan pada produk bukan Islam yang memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Yang Dipertuanya, Zuhaizar Abdul Karim berkata, ini kerana terdapat usahawan mempelbagaikan tulisan pada pembungkusan produk untuk tembusi pasaran negara tertentu.
Menurutnya, selain strategi pemasaran, ia antara usaha menggalakkan pengusaha bukan Islam memperoleh sijil Jakim bagi memperluaskan pasaran halal.
“Dalam konteks komersial, ada usahawan gunakan tulisan jawi, Arab dan Cina pada pembungkusan produk untuk tembusi pasaran negara luar. Malah usahawan Muslim juga ada gunakan tulisan Cina pada produk yang dieksport ke China,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, dalam konteks negara ini, tulisan jawi sinonim dengan masyarakat Islam dan Melayu yang mana dikhuatiri dimanipulasi pihak tertentu bagi mengaut keuntungan perniagaan.
“Produk tidak halal yang gunakan tulisan jawi memang kami bantah, ini satu bentuk manipulasi. Namun kita boleh kawal penggunaan tulisan jawi pada produk bukan Islam dengan selaraskan bawah sijil halal Jakim,” katanya.
Menurutnya, ia bukan sahaja sebagai nilai tambah sesuatu produk, malah menggalakkan pengusaha memohon sijil halal.
“Antara cadangan, apabila pengusaha diberikan sijil halal Jakim secara automatik dibenarkan gunakan tulisan Jawi. Ini dapat melindungi pengguna Islam memilih produk halal dan dapat elak kekeliruan,” katanya.
Tambahnya, bukan semua pengusaha bukan Islam menggunakan sumber tidak halal terutama yang mengeluarkan produk untuk pasaran Muslim.
Sebelum ini, Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) menggesa kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk bukan Islam.
Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris berkata, tulisan jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk.
Turut senada, Persatuan Usahawan Wanita Wilayah Utara (Usahawati) yang menyokong pengharaman tulisan jawi pada produk bukan Islam bagi mengelak kekeliruan pengguna Islam.
Presidennya, Dr A’Aishah Latif berkata, sekiranya dibenarkan tulisan jawi pada bungkusan produk bukan Islam, dikhuatiri pengguna Islam tersilap memilih barangan antara halal dan tidak halal.
Katanya, penggunaan tulisan jawi pada sesuatu produk juga harus memastikan menepati kategori produk 'halalan toyyiban' mengikut syarak.
“Dengan mengharamkan tulisan jawi pada produk bukan Islam, memudahkan pengguna membezakan produk keluaran Islam dengan bukan Islam. Ini kerana mungkin produk terbabit tidak halal walaupun terdapat tulisan jawi pada pembungkusan.
“Sekiranya dikuatkuasakan undang-undang, pengilang yang menyalah guna tulisan jawi wajib dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!