Belakang rumah jadi sarang binatang
TEMERLOH - Ular tedung antara ancaman yang dihadapi lebih 100 penduduk di Lorong 4D, Taman Bukit Bendera Mentakab di sini sejak beberapa tahun lalu.
Situasi tersebut berpunca daripada unit rumah terbiar di lorong terbabit sejak hampir 30 tahun lalu dan keadaan itu menggusarkan penduduk terutama dengan keselamatan anak-anak mereka.
Seorang penduduk, Nakul Ali, 48, mendakwa, aduan sudah dibuat beberapa kali ke pihak berkaitan, namun masih belum ada tindakan.
"Sudah lama masalah ini dihadapi dan aduan dibuat tapi masih belum ada tindakan penyelesaian.
"Kami risau dengan keselamatan keluarga terutama anak-anak. Ular tedung pun dah pernah masuk rumah, jumpa ular sawa di belakang rumah.
"Kalau kera, biawak, musang pun dah pernah masuk menyebabkan kami terpaksa pasang jaring keselamatan di keliling rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Nakul berkata, mereka turut memasang perangkap di belakang rumah untuk menambahkan lagi langkah keselamatan.
Selain ancaman haiwan liar, penduduk di lorong itu juga berdepan masalah longkang tersumbat hingga menyebabkan masalah banjir kilat jika hujan lebat berterusan beberapa jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!