Jangan pandang rendah bidang teknikal

Norhana (kanan) Wan Afthanorhan (tengah) bersama Pengurus Mahsari Group, Wan Rakemi selepas selesai majlis MoU semalam.
Norhana (kanan) Wan Afthanorhan (tengah) bersama Pengurus Mahsari Group, Wan Rakemi selepas selesai majlis MoU semalam.
A
A
A

TANAH MERAH - Bidang teknikal kini turut mewujudkan peluang pekerjaan dan tidak harus dipandang rendah kerana graduannya sering mendapat tempat dalam sektor industri.

Timbalan Pengarah Pembangunan Kejurulatihan Pendidikan Teknik Vokasional, Bahagian Latihan Teknik Vokasional, Norhana Mustapa berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilaksanakan di negara ini ternyata melahirkan lebih ramai generasi belia berdaya saing.

"Menerusi dasar TVET ini juga merupakan proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dan penekanan utama terhadap amalan industri yang menjurus kepada praktikal, kemahiran dan pendedahan dalam industri.

"Maka kerjasama dengan syarikat merupakan langkah yang proaktif bagi penempatan pelajar untuk menjalani latihan pekerjaan agar ia seiring dengan kehendak pasaran masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Vokasional Tanah Merah dan Kolej Vokasional Pasir Puteh dengan pelbagai syarikat dan kepakaran industri di Kolej Vokasional Tanah Merah di sini semalam.

Dalam majlis itu, sebanyak 12 syarikat dan kepakaran industri menyertai majlis terbabit sebagai tanda kerjasama dengan pihak kolej vokasional.

Antara pihak yang terlibat termasuk syarikat Mahligai Idaman Resources, Mahsari Group, dan Tadika Permata An Nur.

Hadir sama, Pengarah Kolej Vokasional Tanah Merah, Wan Afthanorhan Wan Aftuluddin.

Artikel Berkaitan:

Norhana berkata, dengan kerjasama ini diharap dapat mengubah tanggapan masyarakat bahawa bidang teknikal dan industri ternyata mempunyai masa depan.

"Dengan adanya bidang seumpama ini juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dan dapat memartabatkan era Revolusi Industri 4.0," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!