Sejarah dan warisan penyelamat kita
SAYA rasa subjek sejarah dan silibusnya di sekolah menengah kita sebenarnya telah memisahkan kita.
Sejarah negara kita yang diajar kepada anak-anak kita tidak boleh mengandungi mesej tentang keunggulan satu kumpulan etnik ke atas kumpulan etnik yang lain ataupun kepentingan satu agama atas agama yang lain.
Saya mengajak semua orang Malaysia untuk membuat satu referendum mengenai pembelajaran sejarah yang akan meletakkan semua kita dalam perahu yang sama.
Saya mengajak satu pelajaran dalam sejarah yang membuat kita mahu mempelajari kepercayaan dan budaya yang berbeza yang akan menambahkan inspirasi, aspirasi dan keseronokan menjadi orang Malaysia, sebuah negara yang mempunyai banyak identiti. Saya mengajak kepada 'Satu-Banyak Malaysia' berbanding dengan cuma 'Satu Malaysia'.
Saya mahu anak-anak kita belajar tentang sejarah agama Kristian di negara ini di mana guru-guru akan menunjukkan tayangan slaid tentang gereja, katedral, sekolah misi, rumah paderi-paderi, bangunan amal dan tanah perkuburan.
Perkara ini terjadi daripada orang-orang kolonial yang telah membawa agama Kristian ke Tanah Melayu.
Sekolah-sekolah seperti St John Institution tidak lama kemudian menjadi sekolah nasional dan semua orang Malaysia yang berbilang kaum mendapat manfaat daripada batu-batu, dek kayu dan dewan suci monastik.
Seperti sekolah pondok atau pasentran atau madrasah agama Islam, sekolah awal ini mengajar kita tentang etika, tingkah laku dan kepercayaan untuk membantu kita melalui hari-hari yang susah dengan harapan daripada Tuhan yang penyayang.
Putus asa tidak pernah menjadi pilihan jikalau kita ada kepercayaan yang diajar oleh para mubaligh dan para ustaz.
Saya mahu anak-anak kita mempelajari tentang bagaimana sukarnya orang Cina dalam tongkang, kapal dan apa-apa yang terapung mengharungi lautan.
Saya mahu mereka rasa bagaimana orang Cina ini bekerja sehingga akhir hayat di lombong bijih, dalam kedai jahit yang panas, menjadi pengukir, bekerja keras di bawah cuaca panas untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak dan cucu-cucu mereka.
Bekas-bekas kerja keras mereka dapat dilihat di tanah perkuburan di Jalan Pudu dan rumah orang sakit.
Saya mahu cucu saya, Khalid, untuk belajar tentang Persatuan TeoChew yang menjaga saudara- mara mereka dengan menolong dalam pembentukan pekerjaan seperti membuat arak, perikanan, tanaman gandum dan bagaimana masyarakat itu menyediakan kubur kolektif, menjaga orang yang sakit di antara mereka dan membina Sekolah Puay Chai yang kemudian menjadi sekolah nasional.
Sejarah kita perlu mengakui Persatuan Char Yong yang telah menubuhkan fasiliti perubatan yang dinamakan Fay Choon Kuan.
Sejarah kita perlu juga diwarnai dengan personaliti seperti Raja Besi, Chan Sow Lin yang cukup kaya untuk menaja pembinaan Sekolah Confucius dan Hospital Tung Shin di Kuala Lumpur. Beliau juga telah menyumbang kepada pembangunan Selangor sebagai seorang ahli majlis.
Saya mahu cucu kita pada suatu hari nanti dapat berjalan dengan cucu mereka di kawasan bersejarah di Brickfields dan menghidu bau kemenyan di kuil Hindu seperti Kuil Maha Kaliamman, Kuil Sri Sakthi Vinayagar, Kuil Sri Sakhti Aalayam, Kuil Sri Kandaswamy, Kuil Shri Khrisna, Kuil Sree Veera Hanuman dan Kuil Sri Maha Muneswarar. Mereka mungkin boleh berhenti di Gereja Lutheran Evangelical di mana orang Tamil beragama Kristian selalu berkunjung.
Saya dapat bayangkan cucu perempuan saya berjalan menuju ke Surau Gouthiyyah untuk bersolat, suatu tempat di mana orang India Islam akan berehat dan menunggu untuk solat. Dia akan berjalan melepasi Tokong Sow Kam Tong, Tokong Seng Hong dan juga Kuil Buddha Maha Vihara.
Ini adalah orang warisan kita dalam sejarah yang kita kongsi bersama di mana ayah-ayah, ibu-ibu, datuk dan nenek kita merentasi jalan antara satu sama lain dalam urusan seharian mereka. Siapa kita sekarang adalah mereka pada masa lalu dengan perjalanan hidup sejarah yang bersimpang-siur dalam warisan yang sama.
Kita adalah anak-anak daripada banyak bangsa. Kita perlu menghormati bangsa kita yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Kadazan dan banyak lagi di samping membuka minda dan hati kita dan terus melibatkan diri dengan kita yang ‘lain-lain’ untuk menyempurnakan kehadiran kita dalam dunia ini.
Warisan kita melambangkan harapan kita. Sejarah kita melambangkan perjalanan kita. Nasib kita sebagai satu bangsa yang hidup dalam harmoni bergantung sepenuhnya apabila kita merangkul semua sejarah kita untuk memastikan masa hadapan yang sama dan lebih baik.
* Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Pensyarah UCSI University, Kampus Cheras, Kuala Lumpur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!