Kita belum bersedia
“MALAYSIA belum bersedia apa?” tanya Mat kepada Farid ketika sedang makan tengah hari waktu rehat bekerja. Teh ais diteguk dengan agak rakus. Mungkin cuaca agak panas dan juga setelah membuat lawatan tapak pemeriksaan jambatan menjadikan tekak cepat haus.
Nasi panas berkuah sup kaki ayam disuap semula setelah bertanya soalan itu. Kemudian dia memandang Farid kembali meminta kepastian maksud kenyataan itu. Farid hanya tersenyum. Seolah-olah tidak menghiraukan akan soalan Mat.
Farid pantas menyuapkan nasi berlauk ayam masak merah. Dikunyah perlahan-lahan, tenang sahaja. Kemudian air teh ais diteguk, untuk melegakan tekak pula. Perlahan-lahan diangkat kepalanya memandang Mat dan bersedia untuk menyambung bicara.
“Belum bersedia untuk menjadi negara yang mempraktikan hak kebebasan bersuara sepenuhnya,” jawab Farid.
Kemudian sekali lagi dia menyambung menyuap nasi. Yang penghabisan. Jari-jemari dijilatnya sebagai mengikut sunnah Rasulullah.
Raut muka keliru, seolah-olah seperti kucing kehilangan anak terpampang jelas di wajah Mat. Masih cuba memahami apa yang mahu disampaikan oleh Farid. Melihat Farid bingkas untuk membasuh tangan, lantas Mat menyambung semula menyuap nasi yang penghabisan juga.
Farid lalu duduk kembali untuk sekali lagi meneguk teh aisnya secara berhati-hati. Tinggal separuh gelas lagi untuk modal bersembang. Biasanya sejam dua lagi boleh bertahan teh aisnya untuk modal bersembang di kedai kopi ini.
“Apa pendapat kau tentang Zakir Naik?” tanya Farid kepada Mat pula. Mat kelihatan tidak berpuas hati juga. Apabila soalan awal tidak berjawab tetapi dijawab oleh Farid dengan soalan lain pula. Sekali ini giliran Mat pula berdiam diri, tidak menjawab pertanyaan Farid.
Mat pantas bangun untuk ke sinki membasuh tangan. Kemudian, duduk kembali menghadap Farid.
“Kenapa dengan Zakir Naik?” tanya Mat pula.
“Bukankah hak kebebasan bersuara dia sudah tidak ada?” kata Farid.
“Tidak ada? Sebab apa tidak ada?” tanya Mat lagi.
“Kau tidak tahu yang beliau sudah tidak dibenarkan berceramah?” tanya Farid pula sambil mengeluh.
Diambil sudu untuk mencedok ketul ais. Kemudian digigitnya pula sehingga berbunyi-bunyi.
“Tidak tahu. Kenapa tidak dibenarkan berceramah pula?” tanya Mat.
“La, kau tidak tahukah yang beliau dilarang kerana cuba menyentuh isu sensitif negara kita?” jawab Farid juga dengan bertanya kembali.
“Tapi bukankah kita sekarang sudah Malaysia Baharu?” Mat bertanya pula.
“Kenapa dengan Malaysia Baharu?” tanya Farid semula.
“Bukan ke Malaysia Baharu memperjuangkan hak kebebasan bersuara?” sekali lagi Mat melontarkan soalan.Hak kebebasan
Farid tidak menjawab. Hanya menggeleng kepala. Teh ais berbaki sisa, disedut sepenuhnya.
“Mungkin kerana ceramah Zakir Naik baru-baru ini menyentuh isu sensitif?” jawab Farid tidak pasti untuk menjawab soalan yang mana dan berkenaan apa.
“Habis, ini bermakna apa yang dikatakan oleh Zakir Naik berkenaan isu sensitif itu kononnya, perlu dikekang?” tanya Mat lagi.
Sekali lagi Farid menggeleng kepala. Entah tanda tidak tahu atau tidak bersetuju. Pada masa yang sama beberapa soalan bermain dalam minda Farid juga. Bukankah kita sekarang ke arah kebebasan bersuara? Mengekang seseorang daripada memberi pendapat dan ceramah bukankah melanggar hak kebebasannya?
Dan pada masa yang sama, di mana hilangnya pejuang-pejuang hak kebebasan bersuara itu? Sudah tidak dapat menerimanya apabila diri mereka tersinggung dan terasa pula? Atau memang Malaysia belum bersedia?
Fikiran Farid melayang jauh dengan persoalan demi persoalan. Hak kebebasan seseorang sudah dikekang sedangkan dahulu diperjuangkan untuk demi sesiapa sahaja.
Mat juga membisu tidak berkata-kata. Waktu rehat juga sudah hampir ke penghujungnya. Teh aisnya masih bersisa setengah gelas lagi. Diteguknya perlahan-lahan sambil fikirannya melayang pula pada satu tajuk berita. Berita jauh nun di Amerika Syarikat. Tajuk yang agak kontroversi juga. Ditulis oleh seorang penulis satira.
Ya, di Amerika. Bukan di Malaysia. Kerana seperti yang diberitahu tadi, Malaysia belum bersedia.
Kita belum bersedia untuk menerima cerita begini. Yang mempunyai tajuk seperti, Trump Orders Pence to Find Passage in the Bible Where Jesus Tells People to Get the Hell Out.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!