Cucu tercampak, atok tersepit

Keadaan kereta yang terbabit nahas di Kilometer 38.8 Jalan Raya Timur Barat Gerik - Jeli malam tadi hingga mengorbankan dua nyawa. Gambar kecil: Ismail Che Isa
Keadaan kereta yang terbabit nahas di Kilometer 38.8 Jalan Raya Timur Barat Gerik - Jeli malam tadi hingga mengorbankan dua nyawa. Gambar kecil: Ismail Che Isa
A
A
A

GERIK - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun maut selepas tercampak dari kereta dipandu datuknya dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 38.8 Jalan Raya Timur Barat Gerik - Jeli berhampiran Perikanan Banding, tengah malam tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 12.20 tengah malam itu, Fahrin Haris Abdullah, 5, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Nahas membabitkan kereta jenis Honda Accord dan sebuah treler muatan tong gas itu turut mengorbankan datuknya, seorang pesara polis, Ibrahim Osman, 58.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli sebelum dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Pada masa sama, treler yang datang dari arah bertentangan tidak sempat elak lalu terlanggar kereta mangsa menyebabkan seorang kanak-kanak yang duduk di bahagian penumpang hadapan terbabit tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta turut maut akibat parah di kepala selepas tersepit sementara pemandu treler berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Gerik bagi urusan bedah siasat yang dijalankan pagi ini.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut kini dibuat dibawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!