Kebakaran 2.4 hektar hutan berbukit berhampiran Legoland dipadamkan
JOHOR BAHRU - Kebakaran melibatkan kawasan seluas 2.4 hektar hutan berbukit berhampiran Taman Tema Legoland dan sebuah hotel di Medini, Iskandar Puteri, petang semalam berjaya dipadamkan awal hari ini.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Kamil Zulkiefle berkata, operasi pemadaman ditamatkan jam 3.15 pagi ini selepas api padam sepenuhnya di kawasan berkenaan.
"Api berjaya dikawal dan dipadamkan dengan kaedah 'fire break' iaitu membina parit bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan Taman Teman Legoland dan hotel berkenaan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Selain bomba, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) Legoland dan hotel berkenaan.
Punca dan anggaran kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan.
Semalam, bomba menerima panggilan kebakaran itu jam 4.25 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin melakukan operasi pemadaman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!