Ambil tindakan tegas isu Jalur Gemilang
BATU PAHAT - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Negeri Johor mendesak kerajaan melaksanakan tindakan tegas kepada mana-mana syarikat atau individu yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik termasuk sengaja mengubah warna asal bendera itu.
Pengerusi Putra Negeri Johor, Laksamana (B) Datuk Seri Ahmad Puzi Abdul Kahar berkata, memaafkan mereka yang melakukan kesalahan seperti ini adalah satu tindakan sia-sia kerana ia tidak memberi jaminan seseorang itu tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
"Secara hakikatnya pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) kerana mengaibkan dengan niat untuk menggugat keharmonian kaum di negara ini dan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Manakala tindakan lain yang boleh dikenakan kepada pesalah adalah mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 manakala, hukuman paling berat adalah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membolehkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ketua-Ketua Bahagian Putra Negeri Johor di Bilik Gerakan Putra di Ayer Hitam, di sini hari ini.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, mana-mana bendera yang didapati sudah uzur atau berubah warnanya juga harus ditukar kerana harganya tidak setinggi nilai darjat bendera yang menjadi lambang maruah negara ini.
"Jadi, saya menyeru kepada sesiapa sahaja yang melihat kesalahan seperti ini supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!