Majoriti netizen setuju wujudkan akta lindungi Jalur Gemilang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 98 peratus undian daripada 17,600 pembaca Sinar Harian Online bersetuju supaya diwujudkan satu akta khusus bagi melindungi Jalur Gemilang.

Undian itu diperoleh melalui undian poll yang dijalankan melalui Facebook semalam iaitu 'setujukah satu akta khusus diwujudkan bagi melindungi Jalur Gemilang'.

Menerusi undian sama, sebanyak dua peratus pelayar didapati tidak bersetuju akta baharu itu diwujudkan.

Tinjauan Sinar Harian ke atas 634 komen diberikan pelayar mendapati pelbagai pandangan negatif dan positif diberikan malah ada juga yang meninggalkan komen berbaur sindiran.

Antaranya Sul Marlina bersetuju kemungkinan individu yang memasang bendera terbalik adalah pemberontak dan dia sepatutnya ditangkap sekali gus dipenjarakan.

Ma Laya berpendapat supaya tindakan perlu dikenakan kepada mana-mana individu atau pihak yang mengibarkan Jalur Gemilang sehingga koyak rabak.

VinceBon Arthur pula berpandangan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik adalah disengajakan dan ia sepatutnya tidak berlaku.

Perkara itu turut disokong oleh Wan Mohamad Nazri, tindakan kurang cerdik apabila identiti dan perlembagaan negara dipermainkan.

Artikel Berkaitan:

“Kurang wajar dan tidak masuk akal kalau identiti dan perlembagaan negara dipermainkan, perlukan undang-undang yang ketat seperti di Thailand dan pesalah dihukum penjara selama 100 tahun,” tulisnya.

Semalam, Majlis Belia Malaysia (MBM) mendesak supaya tindakan undang-undang dikenakan ke atas pihak yang didapati memasang Jalur Gemilang terbalik.

Timbalan Presidennya, Muhammad Fadzli Hasan berkata, ini kerana tindakan tersebut adalah satu penghinaan besar kepada negara.

Menurutnya, tiada sebarang alasan dapat diterima dalam perkara membabitkan pemasangan bendera terbalik yang heboh diperkatakan oleh warga netizen baru-baru ini kerana simbol kedaulatan negara itu sewajarnya dihormati.

Justeru, beliau berkata, tindakan undang-undang perlu diambil kepada pihak yang bertanggungjawab mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai pengajaran.

Undian poll itu susulan beberapa insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di beberapa lokasi yang dilihat seolah-olah cubaan mempersendakan kedaulatan Malaysia dan ia menerima 660 tanda suka termasuk marah selain mendapat 108 perkongsian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!