Tragedi Nora Anne tidak jejas pelancong ke Malaysia
ALOR SETAR - Insiden yang menimpa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin pada 13 Ogos lepas diyakini tidak akan menjejaskan jumlah kunjungan pelancong ke negara ini menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi percaya kejadian itu tidak akan memberikan kesan kepada usaha kerajaan menarik lebih ramai pelancong ke negara ini pada tahun hadapan.
Menurutnya, kejadian yang menimpa remaja tersebut disifatkan sebagai tragedi menyedihkan malah rakyat turut bersedih dan bersimpati dengan apa yang berlaku.
"Ia sebuah kemalangan dan boleh berlaku di mana-mana negara. Kejadian ini tidak menjadi isu besar dan berat sangat.
"Macam kejadian lemas di Langkawi baru-baru ini, seorang pelancong disebabkan nak selfie, dia buka jaket keselamatan yang dipakainya. Perkara macam ini kita tidak dapat jangka," katanya pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Semula Kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad di Lorong Kilang Ais, dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan keadaan dan beberapa situasi yang berlaku sejak akhir-akhir ini kerana mempunyai kaitan dengan industri pelancongan negara.
Jelasnya, kerajaan bakal memperhebatkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 bagi menambah jumlah kehadiran pelancong dari luar negara ke sini pada tahun hadapan.
"Kita mahu tarik ramai lagi pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand termasuk negara-negara Asia lain seperti Korea Selatan. Kita akan buat promosi dan jelajah di seluruh Asia dan seluruh dunia," katanya.
Hadir sama Exco Belia dan Sukan, Seni dan Budaya Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!