Masyarakat Sibu digesa tidak malu kibar Jalur Gemilang
SIBU - Masyarakat pelbagai kaum di daerah ini digesa supaya tidak malu mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan permis perniagaan masing-masing sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Ivy Stephen Sekai berkata, amalan mengibarkan Jalur Gemilang bukan setakat tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia malah bukti semangat patriotik, kesetiaan dan sayangkan negara.
Menurutnya, hari ini adalah pelancaran Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Sibu dan pelepasan Konvoi Kibar Jalur Gemilang disempurnakan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau di Dataran Tun Tuanku Bujang manakala perasmian kempen dilakukan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling di Sibu Heritage Centre.
"Oleh itu melalui kempen ini yang antaranya bertujuan menyemai serta mempromosi semangat cintakan negara dan meningkatkan semangat patriotisme.
"Kita mahu semua warga Sibu untuk bersatu dan jangan malu mengibarkan Jalur Gemilang di tempat masing-masing,” katanya kepada selepas upacara pelepasan konvoi Jalur Gemilang hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya perasmian kempen itu Ivy berkata, pengibaran Jalur Gemilang amat penting sebagai simbol kesetiaan, kesatuan dan patriotisme di kalangan rakyat negara ini.
"Oleh itu kami menyeru semua warga Sibu untuk mengikbarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, kereta, motosikal, basikal dan di mana-mana saja sepanjang kempen untuk tunjukkan rasa cinta dan sayang kepada Malaysia dan bangga menjadi anak Malaysia,” katanya.
Manakala Oscar dalam ucapan perasmiannya berkata, adalah amat malang sekali sekiranya mengaku sahaja sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak memiliki rasa kasih dan sayang kepada negara.
Sehubungan itu beliau mengingatkan generasi muda supaya jangan lupa kepada perjalanan serta perjuangan bangsa dan tidak mengetepikan persepsi keadaan baik dan selesa dinikmati masa kini adalah perkara biasa serta masalah negara bukan tanggungjawab mereka kerana ia boleh meruntuhkan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!