Kutip lebih 1 tan sampah dalam 1 jam di Pantai Sepat
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Lebih satu tan sampah dikutip dalam tempoh satu jam aktiviti 'beach plogging' anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) di Pantai Sepat di sini hari ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata, Bank Islam memperuntukkan RM30,000 bagi pelaksanaan program itu yang bertujuan mendidik orang ramai akan kepentingan menjaga alam sekitar.
"Peruntukan ini juga melibatkan pembinaan lima buah buaian dan enam unit bangku santai bagi kemudahan pengunjung ke pantai kedua terpanjang di Kuantan ini.
"Kita turut mengunjungi tiga rumah penduduk asnaf sekitar Kampung Pantai Sepat bagi menyampaikan bantuan yang disalurkan melalui peruntukan zakat oleh Bank Islam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program yang turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda di sini hari ini.
Menurutnya, program yang juga sebahagian daripada tangggungjawab sosial korporat dinamai AMAL itu melibatkan empat komponen iaitu alam, sosio ekonomi, pendidikan dan kesihatan.
"Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora Sdn Bhd," katanya.
Program itu disertai 500 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Bank Islam dan pelajar Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas), Kolej Vokasional Kuantan, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuantan serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!