JHEAT cekup 17 lelaki tak solat Jumaat

Beberapa pengunjung lelaki dilihat masih mandi-manda pada waktu solat Jumaat.
Beberapa pengunjung lelaki dilihat masih mandi-manda pada waktu solat Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 17 lelaki tempatan dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kerana didapati tidak solat Jumaat dalam Operasi Ponteng Solat Jumaat di Air Terjun Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 37 tahun ditahan selepas didapati dengan selamba bersantai sambil bermandi-manda bersama ahli keluarga ketika waktu solat Jumaat.

Lebih menyedihkan, ramai dalam kalangan mereka ini sanggup menipu kononnya musafir tetapi setelah disoal siasat, mereka hanya penduduk tempatan dari sekitar kawasan berhampiran sahaja.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail berkata, operasi bermula seawal jam 11 tengah hari dengan proses pemantauan di lokasi terlebih dahulu sebelum berakhir kira-kira jam 2.30 petang.

"Beberapa anggota penguat kuasa wanita ditempatkan di kawasan berkenaan untuk memantau pengunjung lelaki di sini pada waktu lelaki lain sedang solat Jumaat.

"Sejurus selesai solat Jumaat, penguat kuasa lelaki akan bergegas ke lokasi sebelum menahan mereka yang didapati tidak solat.

"Kebanyakan mereka yang ditahan sedang 'sibuk' menjalankan aktiviti santai bersama keluarga dan ada juga yang sedang mandi manda," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Nik Zuhaiza berkata, pihaknya sebelum ini menerima aduan awam memaklumkan pengunjung di pusat rekreasi berkenaan terutamanya lelaki tempatan terlalu bebas ketika waktu solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang lelaki yang dicekup kerana tidak solat Jumaat bersama ahli keluarganya.
Salah seorang lelaki yang dicekup kerana tidak solat Jumaat bersama ahli keluarganya.

"Mereka langsung tidak sensitif meskipun tahu sudah masuk waktu solat Jumaat sedangkan masjid berada tidak jauh.

"Mungkin mereka berasa 'selamat' kerana dapat mengaburi mata masyarakat setempat kononnya musafir memandangkan majoriti pengunjung ke sini adalah pengunjung luar," katanya.

Beliau berkata, operasi berterusan akan dilakukan bagi menangani masalah ponteng solat Jumaat terutama di lokasi yang sering menjadi tumpuan awam selain aduan daripada masyarakat setempat.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Hulu Terengganu untuk disiasat mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan suatu kesalahan.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!