Dua pelajar tingkatan dua ditangkap pecah tabung masjid

Wang tunai RM30 yang dicuri oleh suspek. (Gambar kecil: Noorzainy)
Wang tunai RM30 yang dicuri oleh suspek. (Gambar kecil: Noorzainy)
A
A
A

TASEK GELUGOR - Dua remaja berusia14 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan kejadian pecah tabung di Masjid Jamek Pokok Tampang di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berkenaan disedari oleh jemaah masjid berkenaan selepas mendapati tabung yang dilekatkan pada tiang masjid berkenaan telah tercabut dari tempat asal.

Menurutnya, pemeriksaan yang dibuat mendapati peti tabung tersebut telah terkopak dan wang di dalamnya lesap.

"Semakan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam masjid mendapati terdapat dua lelaki telah masuk ke dalam dewan solat masjid dan mengopak peti tabung masjid berkenaan.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati dua remaja berkenaan menaiki motosikal skuter jenis Honda merah telah masuk ke dalam masjid di antara jam 10.55 malam hingga 11.03 malam dan hasil penelitian CCTV itu kita berjaya mengesan dua suspek berkenaan tidak sampai tempoh 24 jam kejadian berkenaan berlaku," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, bertindak atas maklumat dan rakaman CCTV sepasukan anggota Polis dari Balai Polis Tasek Gelugor telah berjaya menangkap dua remaja terbabit di sebuah rumah di Tasek Gelugor

Katanya, hasil soal siasat yang dibuat suspek mengaku melakukan perbuatan mencuri wang dalam tabung masjid berjumlah RM30.

"Ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua remaja ditahan untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!