Tiada kompromi jika terlibat isu 3R

Eddin (tiga dari kanan) ketika meninjau aktiviti yang dijalankan pada Karnival Amal Merdeka Za'ba di pekarangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Pilah hari ini.
Eddin (tiga dari kanan) ketika meninjau aktiviti yang dijalankan pada Karnival Amal Merdeka Za'ba di pekarangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Pilah hari ini.
A
A
A

KUALA PILAH - Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan penyebaran kandungan mesej berunsur 3R iaitu Race (kaum), Religion (agama) dan Royalty (institusi diraja) di media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, rakyat seharusnya tidak mengambil kesempatan terhadap amalan keterbukaan Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih kerajaan.

"(Laporan) 3R ini saya percaya amat penting untuk mengekalkan kestabilan dan mengekang pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

"Perkara ini bukanlah untuk menakutkan mana-mana pihak kecuali untuk sesetengahnya yang sengaja mencabar pihak berkuasa, maka tindakan undang-undang perlu dilaksanakan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, laporan 3R adalah hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lebih mudah dan mempercepatkan proses tindakan penguatkuasaan diambil terhadap perkara itu.

Bagaimanapun, ketika diminta perincian mengenai jumlah laporan terkini diterima pihaknya melalui aplikasi WhatsApp dan e-mel, Eddin berkata, beliau masih belum dimaklumkan mengenainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapor kandungan berbaur 3R di media sosial kepada SKMM

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa orang ramai supaya tampil melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-220 6262 atau e-mel kepada mediasosial@mcmc.gov.my.

Eddin ketika Karnival Amal Merdeka Za'ba Parlimen Kuala Pilah 2019.
Eddin ketika Karnival Amal Merdeka Za'ba Parlimen Kuala Pilah 2019.

Sementara itu, Eddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, penyelesaian masalah jalan sesak di Kuala Pilah setiap kali cuti hujung minggu dan cuti persekolahan antara keutamaan pihaknya.

"Jalan Kuala Pilah - Seremban akan diselesaikan terlebih dahulu susulan ia melibatkan perkembangan ekonomi daerah ini," katanya.

Terdahulu, Eddin merasmikan Karnival Amal Merdeka Za'ba Parlimen Kuala Pilah 2019 anjuran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Sukan Negeri (SSN), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za'ba Kuala Pilah bersama Parlimen Kuala Pilah sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Seramai 1,500 peserta dari seluruh negara terlibat dalam karnival yang bermula semalam hingga esok dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Larian Merdeka Za'ba, persembahan teater, bicara ilmu dan pentarama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!