Masuk kampung promosi Malaysia #QuranHour
KUALA KRAI - Jawatankuasa Program Malaysia #QuranHour dan pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi masuk ke ceruk kampung untuk membuat hebahan program yang akan diadakan di Masjid Tengku Muhammad Faris Petra pada 30 Ogos ini.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan Mejar (B) Datuk Adnan Hashim berkata, langkah tersebut diambil setelah mengambil kira beberapa faktor seperti jarak dan rangkaian komunikasi.
"Kita membuat hebahan di media sosial namun tidak semua penduduk khususnya warga emas yang tinggal di kampung menggunakan medium tersebut.
"Kita sudah buat hebahan di masjid-masjid seluruh Kuala Krai dan kita ambil inisiatif ini untuk mengajak lebih ramai masyarakat menghadirinya dengan cara hebahan ke kampung-kampung,” katanya.
Adnan yang juga Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi berkata, pihaknya memilih untuk turun ke kampung-kampung membuat hebahan pada hari Jumaat memandang ramai penduduk yang cuti.
"Kita akan gerakkan kesemua jawatankuasa dan pelajar tahfiz dalam memastikan jumlah sasaran pada program tersebut antara 1,000 hingga 1,500 orang dapat dicapai.
"Selain itu kita turut membuat hebahan di jabatan-jabatan termasuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai. Alhamdulillah mereka memberikan respons positif terhadap pelaksanaan program ini," katanya.
Dalam pada itu, Adnan bersyukur kerana kebanyakan jabatan yang dikunjungi memberikan maklum balas menggalakkan dan menyokong usaha Persatuan Rumah Ngaji mengadakan Program Malaysia #QuranHour di Kuala Krai.
"Pada saya ini satu bonus kepada masyarakat Kuala Krai apabila Program Malaysia #QuranHour julung kali diadakan di luar Kota Bharu. Jadi rebutlah peluang untuk bersama-sama
bertadabbur dan tazakur surah al-Kahfi," katanya.
Menurutnya, gegantung juga telah dipasang di lokasi strategik di daerah ini untuk memaklumkan tentang program ini.
Katanya, pada program itu juga orang ramai akan menikmati jamuan atau 'bekwoh' yang ditaja Maahad Tahfiz Al-Hashimi dan serta turut diadakan perasmian chalet tahfiz berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!