Mayat warga Pakistan lemas ditemukan petang ini
LANGKAWI - Mayat warga Pakistan yang lemas di pantai Tanjung Rhu semalam berjaya ditemukan petang ini.
Ketua Bomba Zon Langkawi Mohd Fadzlullah Mohd Noor berkata, mayat Haseeb Ashfaq, 30, ditemukan anggota bomba kira-kira 2.30 petang di 0.2 batu nautika dari lokasi terakhir dia dilihat sebelum disedari hilang.
"Sepasukan anggota bomba yang menaiki bot aluminium semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) ternampak mayat mangsa terapung kira-kira 2.30 petang sebelum membawanya ke Pos Kawalan Operasi Bomba di pantai Tanjung Rhu.
"Mayat yang ditemukan dalam keadaan sempurna telah diserahkan kepada anggota polis dari Balai Polis Ayer Hangat sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, operasi carilamat ditamatkan pada pukul 3.30 petang selepas mayat diserahkan kepada pihak polis.
Semalam, Haseeb yang bekerja di sebuah restoran di pulau peranginan ini datang bersama tiga lagi rakannya untuk mandi di kawasan berkenaan.
Kehilangan mangsa disedari tiga lagi rakannya semasa mereka naik untuk pulang namun kelibat mangsa tidak kelihatan sebelum bertindak melaporkan kejadian itu kira-kira 10.22 malam.
Berikutan itu SAR melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, Polis Diraja Malaysia, Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Langkawi, Jabatan Sukarelawan Malaysia Daerah Langkawi dan turut dibantu kakitangan Tanjung Rhu Resort digerakkan sejak malam tadi. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:Lelaki Pakistan dikhuatiri lemas mandi pantai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!