[VIDEO] Tiada himpunan di Brickfields: PDRM

Mazlan ketika bercakap kepada media. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mazlan ketika bercakap kepada media. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang perhimpunan yang berlaku di Little India, Brickfields hari ini seperti yang dirancang pihak tertentu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis mengucapkan terima kasih kerana kumpulan tersebut mematuhi arahan dengan tidak berhimpun di lokasi tersebut.

Menurutnya, polis memandang serius perkara itu dan sekiranya ditahan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kita mahukan keadaan yang aman damai dan tenteram di Kuala Lumpur serta tidak mengganggu keselamatan di negara kita. Terima kasih kerana tidak datang, kami puji sebab tidak datang dan mematuhi arahan polis.

"Namun jika ada pihak yang masih berdegil, kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Little India, Brickfields hari ini.

Ketika ditanya sama ada terdapat tangkapan terbaru dibuat, Mazlan berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan polis akan mengenal pasti serta mencari siapa dalang di sebalik penganjuran perhimpunan yang dirancang itu.

Dalam pada itu, polis turut menasihatkan kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan sebarang himpunan atau provokasi berhubung isu tulisan khat dan penceramah bebas, Dr Zakir Naik.

Artikel Berkaitan:

“Isu ini sudah diselesaikan, jika ingin buat perhimpunan atau sengaja buat suasana tidak tenteram, kita minta perkara ini dijauhi supaya dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi himpunan mendapati dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kehadiran peserta. Malah, pegawai dan anggota polis juga turut mengawasi keseluruhan kawasan Little India, Brickfields bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!