Huru-hara di KLIA, jangan berulang

Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR – Situasi di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) yang mengalami kegagalan pelbagai sistem dan aplikasi, kini semakin pulih apabila Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) menggantikan peralatan rangkaiannya.

Namun masalah itu belum selesai sepenuhnya memandangkan peralatan itu masih diuji dan dipantau bagi memastikan kestabilannya dan bagi sistem bersepadu seperti Sistem Pengurusan Lapangan Terbang Menyeluruh (TAMS), ia akan mengambil masa yang lama untuk dikaliberasikan dan kembali beroperasi secara normal.

Gangguan TAMS hampir menghentikan operasi di gerbang utama negara itu, kegagalan utama pertama sejak ia dibuka pada Jun 1998.

Kerosakan itu berlaku di kedua-dua KLIA dan Klia2 bermula pada 21 Ogos lalu dan berterusan selama dua hari iaitu sehingga semalam, menjejaskan kaunter pemeriksaan masuk, sistem paparan maklumat penerbangan (FIDS) serta pengendalian bagasi, menyebabkan kelewatan penerangan serta pembatalan beberapa penerbangan.

Ia turut menjejaskan sistem kad kredit di premis makanan dan minuman serta runcit dan mencetuskan situasi huru-hara dalam kalangan penumpang dan petugas.

Walaupun tindakan pantas MAHB menugaskan 1,000 kakitangan tambahan untuk membantu penumpang serta sikap bertanggungjawab dan akauntabiliti yang ditunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Azmi Raja Nazuddin dipuji, namun situasi itu tidak sepatutnya berlaku.

Ada banyak sebab berlakunya kegagalan sistem dan aplikasi, namun dalam apa sahaja senario, kerosakan atau impak kegagalan itu boleh dikurangkan menerusi pelan kesinambungan perniagaan yang dirancang dengan baik selain proses pemulihan bencana.

Selain itu, adakah MAHB mempunyai persediaan perancangan kapasiti untuk menampung permintaan yang semakin meningkat ke atas sistem pengkomputerannya, serta persoalan sama ada rangka kerja rangkaiannya sudah mengambil kira operasi berterusan seandainya kegagalan peralatan berlaku?

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Nungsari Ahmad Radhi ketika dihubungi berkata, badan itu bekerjasama rapat dengan MAHB untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Pasukan (MAVCOM) bersama-sama mereka (MAHB) sejak isu itu bermula dan pada masa ini operasi diurus secara manual," katanya.

Bagaimanapun, Nungsari tidak memberi respons ketika ditanya mengenai impak situasi di lapangan terbang Malaysia itu dan langkah-langkah penyelesaiannya.

Mei lalu, Nungsari memberitahu bahawa industri penerbangan Malaysia boleh maju seperti Singapura atau Dubai, namun ia terjejas oleh sistem pengendali lapangan terbang tunggal yang menjadikannya tidak menarik untuk mendapatkan lebih banyak syarikat penerbangan terbang ke KLIA.

"Sistem pengendali tunggal pada masa ini iaitu tiada persaingan, menjadikan sektor ini suram dan tidak menarik.

"Lapangan terbang Malaysia terutama hab gerbang utama negara tidak beroperasi 24 jam sehari yang mungkin mencerminkan hakikat bahawa syarikat penerbangan tidak mendapatinya menarik. Ini seterusnya memperlihatkan bahawa persaingan mungkin menjadi isu."

MAHB menerima kelulusan lanjutan tempoh operasi selama 35 tahun sehingga 11 Februari 2069.

Lanjutan ini bermakna menggantikan dua perjanjian operator lapangan terbang itu yang ditandatangani pada 12 Februari 2009 dengan empat perjanjian baharu untuk KLIA, lapangan terbang Sarawak, lapangan terbang Sabah, dan lapangan terbang tertentu di Semenanjung Malaysia.

Kerajaan ialah pemilik aset bagi hampir kesemua lapangan terbang komersil di negara ini, dan pemilik geran tanah, dan susulan penyambungan perjanjian operasi, MAHB akan terus berperanan sebagai pengendali 39 lapangan terbang di seluruh negara sehingga 2069.

Pada hari pertama kekalutan di lapangan terbang, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam akaun media sosialnya merungut mengatakan kakitangan AirAsia akan digunakan untuk menguruskan keadaan itu, walaupun beliau menyatakan ia bukanlah tanggungjawab syarikat penebangan tambang rendah itu.

The Edge pada Jumaat memetiknya sebagai berkata: "Walaupun jelas saya bukan peminat MAHB, ini (isu) bukan sesuatu yang kita mahu manfaatkan. Semua syarikat mempunyai masalah, termasuk AirAsia, dan kami perlu bekerjasama untuk memastikan penumpang tidak terjejas teruk."

Tony juga berkata, sejajar dengan peningkatan pelancongan, infrastruktur lapangan terbang negara perlu ditambah baik

Kita semua mempunyai perbezaan, namun kita berdiri bersama-sama untuk manfaat negara dan memberikan layanan baik Malaysia, terutama menjelang Tahhun Melawat Malaysia 2020.

Lapangan terbang adalah tanggapan pertama pelancong ke atas sesebuah negara dan kita wajar memberikan yang terbaik.

Bagi mereka yang terjejas oleh situasi huru-hara ini, kami kesal atas kesulitan yang berlaku. MAHB mesti memastikan situasi huru-hara ini tidak berulang lagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!