Setiap kaum ada beri sumbangan kepada negara: Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Setiap kumpulan kaum dan masyarakat di Malaysia ada memberi sumbangan masing-masing kepada negara dan ia bukanlah sesuatu yang perlu dibangkitkan.
Ketika membuat penegasan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hakikatnya ialah masyarakat di negara ini memerlukan satu sama lain.
"Kita kena ingat balik bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang didukung perjuangannya sejak awal sampai hari ini oleh pelbagai kumpulan, kaum, agama dan sebagainya.
"Ia sebahagian daripada sejarah Malaysia, (ketika) kita akan menyambut hari kemerdekaan ini tak boleh kita nafikan bahawa setiap kumpulan kaum, masyarakat mempunyai sumbangan masing-masing (kepada negara)," katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam ucaptama pada program Bicara Kemerdekaan Kedua anjuran badan bukan kerajaan Akademi Harimau Asia, di sini hari ini.
"Tak payahlah kita nak nilai berapa peratus sama ada 60 peratus, 30 peratus atau 10 peratus (misalnya) - tetapi kita secara bersama memberikan sumbangan. Tak boleh kata ada kumpulan tertentu sahaja menyatakan mereka yang menyumbang...kita perlukan satu sama lain," kata Muhyiddin.
Atas sebab itu, beliau mengingatkan bahawa sebarang rasa tidak puas hati tidak harus menjurus kepada tindakan mempersoal hal-hal yang telah dipersetujui sebelum ini.
Ini termasuk perkara berkaitan bahasa, agama, hak Bumiputera dan hak kaum-kaum lain, institusi raja, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak beragama kaum lain.
" Ini adalah sebahagian dalam kehidupan kita, ia bukan sahaja termaktub dalam Perlembagaan tetapi kita amalkan selama lebih 60 tahun," kata Muhyiddin.
Beliau sekali gus menyatakan kebimbangan sebagai menteri yang menjaga soal keselamatan negara tentang tindakan membangkitkan isu berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja sejak akhir-akhir ini yang membawa kesan tidak baik.
Menurut Muhyiddin, ramai yang bertanya kepadanya apa yang sedang berlaku kepada Malaysia dan ini membawa maksud bahawa masyarakat merasa terkesan dengan isu perkauman yang sudah mula membara dengan 'suhu' yang dilihat semakin meningkat.
Beliau berkata perkembangan sebegini perlu dikawal dan bagi tujuan itu, beliau telah mengarahkan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memandang berat tentang perkara yang menyentuh isu-isu sensitif yang dibangkitkan tidak kira oleh sesiapa termasuk tokoh agama.
Pada sidang media kemudian, Muhyiddin memberitahu laporan yang diterima pihak berkuasa berkaitan 3R didapati meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.
Beliau berkata arahan juga telah dikeluarkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan atau kenyataan yang menggugat keamanan dan kesejahteraan negara. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!