IR 4.0: Pelajar perlu berani ceburi semua bidang ilmu

Abu Bakar (dua dari kiri) membetulkan selempang yang dipakai Nasraan Shah Mohamed Naseer yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Emas sempena Majlis Graduasi & Apresiasi Kolej Vokasional Lebuh Cator 2019, di sini hari ini.
Abu Bakar (dua dari kiri) membetulkan selempang yang dipakai Nasraan Shah Mohamed Naseer yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Emas sempena Majlis Graduasi & Apresiasi Kolej Vokasional Lebuh Cator 2019, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Golongan pelajar harus tampil beranikan diri untuk menceburi apa juga bidang ilmu sekiranya mereka mahu bersaing serta berjaya pada masa hadapan.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, keberanian dan kesanggupan mereka mengambil sikap sedemikian akan memberi nilai tambah bukan hanya kepada diri tetapi juga kepada keupayaan modal insan negara.

Katanya, dunia kini bersedia untuk menerima Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang bakal menyaksikan persaingan sengit dalam guna tenaga di antara manusia dengan kecerdasan buatan atau 'artificial intelligence'.

"Maka persaingan ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kita pada hari ini khususnya golongan pelajar.

"Jadi bagaimana kita mahu hadapi perkara ini? Jawapannya bukan sahaja kita perlu ada ilmu, tetapi sikap serta kesanggupan untuk menguasai lebih daripada satu bidang khususnya dalam aspek teknikal selain membina pengalaman yang cukup," katanya.

Abu Bakar (dua dari kiri) menyerahkan sijil kepada Syasya Afiqah Mohammad Hafiz yang menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum sempena Majlis Graduasi & Apresiasi Kolej Vokasional Lebuh Cator 2019, di sini hari ini.
Abu Bakar (dua dari kiri) menyerahkan sijil kepada Syasya Afiqah Mohammad Hafiz yang menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum sempena Majlis Graduasi & Apresiasi Kolej Vokasional Lebuh Cator 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi & Apresiasi Kolej Vokasional Lebuh Cator 2019 di Dewan Banquet, Kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini hari ini.

Pada masa sama, Abu Bakar turut menyampaikan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) kepada 151 pelajar yang menamatkan pengajian mereka di Kolej Vokasional Lebuh Cator (KVLC) pada tahun 2018 dan turut disaksikan Pengarah KVLC, Hamid Jumari.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abu Bakar turut mengharapkan agar ibu bapa dapat bersama memainkan peranan agar tidak terlalu rigid dalam menentukan apa yang perlu dicapai oleh anak masing-masing.

Katanya, setiap individu mempunyai kebolehan, kemampuan dan minat berbeza antara satu sama lain.

"Dengan perbezaan potensi ini, maka ibu bapa boleh menggilap kecemerlangan anak-anak mereka untuk berjaya dalam banyak bidang. Ingatlah, setiap anak kita merupakan aset penting yang akan meneruskan perjuangan bangsa dan tanah air," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!