Melayu perlu syukur bila Umno kalah, Kata Muhyiddin
PUTRAJAYA - Orang Melayu perlu bersyukur apabila Umno kalah pada PRU14 lalu, kerana pemimpin parti itu tidak lagi mampu menipu dan menutup segala kelemahan selepas hilang kuasa.
Menegaskan perkara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, kini 'penipuan mereka' telah terbongkar dan orang Melayu boleh melihat sendiri kesalahan pemimpin mereka.
Menurutnya, dendangan pemimpin Umno bahawa Melayu akan hilang kuasa apabila PH memerintah negara hanyalah tipu helah mereka kerana bukan orang Melayu hilang kuasa sebaliknya pemimpin Umno.
“Umno masih mendendangkan lagu duka nestapa kononnya orang Melayu sudah hilang kuasa di bawah pentadbiran Kerajaan PH. Saya hendak beritahu orang Melayu, setelah PH menang pilihanraya, orang Melayu tidak hilang kuasa. Yang hilang kuasa ialah Umno.
“Inilah yang paling ditakuti oleh Umno. Apabila hilang kuasa, segala kesalahan mereka terbongkar dan pemimpin mereka terpaksa berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah. Bersatu menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Jika terbukti mereka bersalah, biarlah mahkamah yang menentukan nasib mereka,”katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Armada dan Srikandi Bersatu sempena Perhimpunan Agung Bersatu 2018 di PICC hari ini.
Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengingatkan Umno supaya tidak terlalu mengharapkan Pas kerana parti itu tidak boleh dipercayai.
“Janganlah menunggu bulan jatuh ke riba. Tak sampai seminggu, berbondong-bondong wakil rakyat dan ahli Umno keluar parti. Lebih menyedihkan lagi buat Umno, Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) beberapa hari yang lalu buat satu kenyataan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana bahtera.Umno sedang bocor," katanya.
Jelasnya lagi, Pas takut bahtera partinya juga akan karam kalau dilihat terlalu rapat dengan Umno.
“Apa maknanya ini? Maknanya tiada harapan untuk Umno berpakat dengan Pas, dan Pas bukanlah sebuah parti yang boleh dipercayai. Pas hanya mementingkan partinya sendiri. Ia sebuah parti yang meletakkan Islam pada namanya, tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Jadi, tidak perlulah lagi Umno bermimpi di siang hari untuk berpakat dengan Pas dan kembali berkuasa,”katanya.
Katanya, Umno dan Pas tidak akan mampu memerintah Putrajaya dengan hanya menabur fitnah kepada PH.
Muhyiddin berkata, Umno dan Pas terus menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan kerajaan PH di mata umat Islam.
Menurutnya, selain meracuni pemikiran umat Islam dengan pelbagai fitnah, penggunaan isu agama secara melampau untuk kepentingan politik yang sempit akan menimbulkan kebencian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita.
“Jika tidak dibendung, amalan politik kotor ini akan turut mempengaruhi pelbagai kumpulan dalam masyarakat dan memusnahkan perpaduan yang kita kecapi selama ini.
“Jika Umno dan Pas menyangka mereka boleh menang pilihanraya dengan menabur fitnah berbaur sentimen agama, saya ingin berpesan kepada kedua- dua parti ini janganlah mimpi di siang hari. Jauh panggang dari api,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!