KUD@KPLB di tiga zon membanggakan

Rina ketika memberi ucapan di Karnival Usahawan Desa Zon Sabah, hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Rina ketika memberi ucapan di Karnival Usahawan Desa Zon Sabah, hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KOTA KINABALU - Penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) di tiga negeri mengikut zon seperti di Pulau Pinang, Terengganu sebelum ini dan terbaru di Sabah mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih daripada 800 usahawan turut serta sepanjang ia berlangsung.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, KUD@KPLB Zon Sabah yang berlangsung di Kompleks Sukan Kota Kinabalu bermula 22 Ogos dan berakhir hari ini, merupakan siri ketiga dan terakhir mengikut zon telah mencatatkan penglibatan sebanyak 350 reruai terdiri daripada pelbagai usahawan.

Menurutnya, acara kemuncak selepas siri penganjuran mengikut zon akan diadakan pada Oktober depan di Putrajaya.

“Sebenarnya ini adalah kali pertama KUD@KPLB dijalankan mengikut zon. Sebelum ini hanya dijalankan sekali sahaja di peringkat nasional. Kali ini kita mahu lebih ramai usahawan terlibat dibandingkan dengan penganjuran sekali sahaja.

“KUD@KPLB telah dilaksanakan di Pulau Pinang dan Terengganu sebelum ini. Sasaran daripada usahawan sangat memberangsangkan iaitu lebih 800 menyertainya. Kemuncak akan diadakan di Putrajaya kita sasarkan 1,500 usahawan,” katanya pada Sidang Media selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah di sini hari ini.

Perasmian tersebut dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Rina berkata, secara keseluruhannya KUD@KPLB Zon Sabah mencatatkan penyertaan usahawan wanita iaitu kira-kira 79 peratus daripada jumlah keseluruhan usahawan desa pada kali ini.

Katanya, kerajaan Persekutuan menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan negeri supaya segala program dan projek dapat dilaksanakan dengan baik serta memberi manfaat kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kita lihat salah satu cara untuk membantu masyarakat bukan sahaja soal pendidikan tetapi dalam bidang keusahawanan. Ada banyak produk dari Sabah yang boleh kita ketengahkan dan komersialkan.

“Kita tidak tahu mungkin daerah Paitan boleh mengeksport produknya sampai ke luar negara. Itu kita sedang usahakan. Sabah kaya dengan penghasilan buah-buahan yang tidak terdapat di Semenanjung. Pihak kementerian akan sentiasa membantu usahawan desa menerusi agensi-agensi yang ada,” katanya.

Mohd Shafie (dua dari kanan) bersama Rina (kanan) merasmikan Karnival Usahawan Desa Zon Sabah di Kompleks Sukan Kota Kinabalu. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Mohd Shafie (dua dari kanan) bersama Rina (kanan) merasmikan Karnival Usahawan Desa Zon Sabah di Kompleks Sukan Kota Kinabalu. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

Jelasnya, menerusi Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, pihaknya menyasarkan tempoh 10 tahun agar kemudahan asas kepada golongan sasar dapat dinikmati.

Menurutnya, menjelang 2025, diharapkan 95 peratus penduduk luar bandar dapat menikmatinya.

“Kita akui dalam meningkatkan keusahawanan ini, kemudahan asas itu perlu ada. Kita di peringkat kementerian menerusi agensi-agensi sedia ada akan berusaha menarik pelabur luar negara masuk ke luar bandar bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang akhirnya akan memajukan kawasan tersebut,” katanya.

Perluas pasaran produk dalam talian

Perbincangan dengan syarikat telekomunikasi bagi menambah baik perkhidmatan di kawasan luar bandar untuk kemudahan usahawan telah dilakukan.

Menurut Rina, ia bagi memudahkan usahawan menjalankan aktiviti menjual dan memasarkan produk secara dalam talian.

Pelbagai program dan aktiviti akan dipertingkatkan di 191 Pusat Komuniti Desa di seluruh Malaysia supaya menjadi hab pengumpulan produk usahawan luar bandar.

Ia dikumpulkan di suatu tempat bagi memudahkan pihak kurir mengambil dan menghantar produk tersebut.

Mengulas mengenai penganjuran kemuncak KUD@KPLB di Putrajaya Oktober depan, Rina berkata, penambahbaikan dan pembaharuan akan dilakukan kementerian tersebut di mana pelbagai aktiviti akan dijalankan termasuk seminar dengan menyediakan tenaga pakar bidang pemasaran dalam talian.

“Sekarang ini, pemasaran dalam talian seperti pembungkusan produk dan sebagainya telah meluas. Kita telah berbincang dengan pihak Malaysia Airport Berhad untuk menempatkan produk-produk usahawan desa di enam lapangan terbang antarabangsa di Malaysia termasuk di Kota Kinabalu.

“Ini merupakan salah satu cara mempromosikan produk tempatan dari luar bandar ke peringkat global. Kebetulan, tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia.

Sementara itu, Shafie pada sidang media memuji usaha yang dilakukan kementerian dalam usaha memajukan dan meningkatkan jumlah usahawan desa.

“Dengan penganjuran KUD@KPLB di Sabah ini, kita berharap hasil diperolehnya bukan sahaja untuk galakan tetapi meningkatkan lebih ramai masyarakat luar bandar terlibat dalam bidang keusahawanan. Kita sedar bidang ini merupakan sektor penting yang mampu meningkatkan ekonomi.

“Negara kita berdepan dengan pelbagai cabaran. Kita perlu lonjakkan kemudahan dan usaha untuk pastikan supaya penglibatan usahawan-usahawan luar bandar dapat ditambah,” katanya.

Jelasnya, kawasan luar bandar mempunyai potensi besar kerana memiliki sumber asas untuk menghasilkan produk berbanding kawasan bandar.

“Kita akan menyokong usaha ini dengan memberikan penambahbaikan prasarana dan sokongan pasaran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!