[VIDEO] Berakit 10km santuni orang asli

Seramai 100 peserta berakit menyelusuri Sungai Peragat ke Sungai Kuala Betis sempena program Jelajah Merdeka dan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 peringkat negeri Kelantan hari ini.
Seramai 100 peserta berakit menyelusuri Sungai Peragat ke Sungai Kuala Betis sempena program Jelajah Merdeka dan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 peringkat negeri Kelantan hari ini.
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 100 peserta berakit sejauh 10 kilometer di Sungai Peragat ke Sungai Kuala Betis sempena program Jelajah Merdeka dan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 peringkat negeri Kelantan hari ini.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga (JPKRT) dan KRT Kuala Betis.

Pengarah JPNIN Kelantan, Norwahidah Zinalibdin berkata, acara itu merupakan program jelajah merdeka pertama yang melibatkan masyarakat orang asli.

Menurutnya, sambutan kali ini menampilkan kelainan bagi memastikan penglibatan semua kaum sekali gus tidak meminggirkan kelompok orang asli.

"Alhamdulillah, walaupun ia pertama kali diperkenalkan dengan menyantuni masyarakat orang asli namun sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

"Sebanyak 25 rakit disediakan bagi jelajah kali ini melibatkan kakitangan JPNIN, wakil KRT dan penduduk kampung termasuk orang asli," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat orang asli di Kampung Podek, Pos Kuala Betis hari ini.

Turut serta dalam aktiviti berakit itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan, Zulqarnain Zakaria.

Artikel Berkaitan:

Selain berakit, program yang diadakan di KRT Kuala Betis itu turut dimeriahkan dengan acara sukaneka dan pertandingan karaoke kemerdekaan.

Sementara itu, penduduk Kampung Angkek, Nora Kantin, 32, berkata, penglibatan orang asli dalam program kenegaraan sepatutnya dipertingkatkan.

"Sebelum ini jarang sekali masyarakat orang asli terlibat dalam program yang berskala besar seperti ini. Ia adalah satu penanda aras yang baik.

"Program sebegini perlu diperluaskan kerana kami juga rakyat Malaysia. Sepatutnya kami tidak dipinggirkan dalam program yang melibatkan negara dan kemerdekaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!