Kilang papan nyaris musnah dalam kebakaran
JERANTUT - Sebuah kilang papan di Batu 4 dekat Kampung Temin di sini nyaris musnah dalam kebakaran akibat kebocoran gas hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.43 pagi itu, kebocoran melibatkan gas jenis acetylene yang digunakan untuk kimpalan besi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam.
Menurutnya, api telah mengenai dinding meja dan kimpalan di kilang terbabit.
"Anggota terlibat melakukan pemadaman sehingga selesai selain mengeluarkan silinder gas yang bocor dari premis kilang bagi mengelakkan risiko lain.
"Tiada sebarang nyawa yang terlibat dan operasi tamat pada jam 9.08 pagi," katanya dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!