Hadiah wang tunai nanti peserta 10,000 Langkah Fitgen Plus Merdeka Walk
KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengadakan Program Fitgen Plus Merdeka Walk With Unity 2019 bertempat di Pangkalan Batu di sini, 31 Ogos ini.
Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, program berjalan kaki sejauh empat kilometer itu akan bermula dan tamat di Jambatan Kota.
Menurutnya, aktiviti berkenaan berlangsung serentak dengan Merdeka Walk With Unity 2.0 anjuran Kelab Warisan Sungai Klang
"Peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti 10,000 Langkah Fitgen Merdeka Walk boleh bergerak secara berkumpulan atau secara perseorangan dengan memakai baju bertemakan merdeka sebagai menyokong kempen Klang Semarak Jiwa Merdeka.
“Kita menjangkakan aktiviti ini akan mendapat sambutan luar biasa memandangkan tema dan konsep dijalankan begitu unik dalam usaha menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan warga Klang," katanya.
Katanya, peserta berminat boleh mendaftar di laman sosial Facebook Merdeka Walk 2.0 atau sebelum hari program bagi mengelak sebarang masalah memandangkan penyertaan telah pun diterima daripada peserta luar.
Acara 10,000 Langkah Fitgen berkumpulan menyediakan hadiah berjumlah RM5,500 manakala kategori individu pula sebanyak RM1,200 keseluruhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!