Pas gesa kerajaan jelas konteks 3R sebelum ambil tindakan
SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung maksud penggunaan isu bangsa, agama dan raja (3R) yang dikatakan boleh mencetuskan sentimen perkauman termasuk dijadikan muslihat politik sebelum sebarang tindakan tegas diambil mengikut undang-undang sedia ada.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, konteks penggunaan 3R yang dikatakan tidak jelas dan perkara berkenaan perlu diberi penerangan terlebih dahulu.
"Kalau isu 3R itu disalah guna seperti dalam bentuk fitnah, ia jelas salah dan boleh diambil tindakan tetapi kalau Pas umpamanya yang merupakan parti bertunjangkan agama Islam sebagai dasar, kita sentiasa bercakap tentang agama.
"Apakah soal agama itu salah?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi amaran akan mengambil tindakan tegas menerusi segala undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948 ke atas pihak yang giat menggunakan isu 3R yang boleh mencetuskan sentimen perkauman kerana sebab tertentu termasuk muslihat politik atau tidak puas hati dengan perkara tertentu dalam negara
Idris berkata, sekiranya terdapat pihak menghina agama, raja dan sebagainya, sudah tentu pemimpin politik akan memainkan peranan supaya perkara itu diambil perhatian oleh kerajaan.
"Kita tidak guna isu itu untuk politik, sebaliknya kita bercakap supaya pihak berkuasa terutamanya akan mengambil tindakan secara profesional tanpa mengira siapa terlibat.
"Jangan pula bila pembangkang nak pertahankan soal prinsip ini akan diambil tindakan tetapi kalau pihak kerajaan timbulkan persoalan tentang perkara sama dibiarkan, ini tidak kena. Maknanya 'rule of law' itu mesti berlaku," katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada seseorang pemimpin politik dianggap bersalah jika cuba mempertahankan prinsip atau agama apabila terdapat pihak menghina atau tidak menghormati agama Islam.
"Tak boleh ambil tindakan ke atas orang yang cakap dia nak bela apabila orang hina agama tapi yang perlu diambil tindakan adalah orang yang menghina agama, itu baru betul.
"Begitu juga dalam soal raja-raja, apakah salah orang yang menyuruh mengambil tindakan terhadap orang yang menghina raja-raja seperti dalam bentuk perkataan iaitu rompak dan syaitan.
"Apakah apabila kita membela dalam konteks ini, akan dianggap sebagai orang yang menggunakan isu beraja? Sebaliknya perlu diambil tindakan terhadap mereka yang menghina raja-raja," katanya.
Sementara itu, Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, isu 3R sangat sensitif dan tidak patut disentuh jika keharmonian negara mahu dikekalkan.
Katanya, masalah hanya akan timbul apabila terdapat individu atau pihak membangkitkannya.
"Bila ada yang sentuh pasal isu ini, maka tak boleh salahkan orang lain yang cuba pertahankan agama, bangsa dan raja tapi salahkan mereka yang mula membangkitkan isu.
"Tidak adil untuk menyuruh mereka berdiam diri. Jika tindakan hanya diambil ke atas mereka yang cuba mempertahan atau menjawab serangan, maka tindakan itu akan dianggap sebagai tidak adil. Tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang memulakannya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Setiap kaum ada beri sumbangan kepada negara: Muhyiddin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!