Isu sensitif ancam keselamatan

A
A
A

DALAM kita memantapkan pelbagai usaha memupuk perpaduan dan keharmonian kaum, wujud pula isu dan sentimen yang bersebar di media sosial yang boleh mengancam keselamatan negara. Perkara yang sering dilakukan oleh pengguna WhatsApp dan media sosial lain adalah mengedar dan menularkan perkara yang boleh mencetus kebencian atau rusuhan. Apatah lagi jika ia menyentuh pertelingkahan dan perbezaan pandangan antara kaum dan agama.

Media sosial dijadikan gelanggang menyemai kebencian dan mewujudkan prasangka dan amarah. Pihak yang menyebar kandungan sensitif 3R iaitu perkauman (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty) muktahir ini semakin menjadi-jadi.Tiga isu ini merupakan perkara yang sensitif dan boleh menimbulkan ketidakpuasan hati antara kaum dan agama.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, memahami Perlembagaan penting supaya isu sensitif yang termaktub dalam Perlembagaan tidak dipersoalkan. Namun ramai yang tidak memahami sejarah Perlembagaan dan isi kandungan terutamanya perkara sensitif menyebabkan masyarakat tinggal dengan prasangka. Lebih merbahaya jika melibatkan prejudis antara kaum yang boleh mencetus pelbagai perkara negatif. Isu-isu sensitif membabitkan agama, kaum, hak keistimewaan dan institusi diraja di negara ini mampu menyumbang kepada perpecahan. Malah isu ini jugalah yang menjadi bahan dan sasaran pihak tertentu merekrut anggota pengganas di negara ini.

Perang media

Pendekatan yang digunakan tampil dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Walaupun tidak lagi berbentuk kekerasan atau mengangkat senjata tetapi muncul dalam bentuk perang media. Pendekatan propaganda dan strategi memenangi hati kumpulan sasaran melalui media sosial boleh mempengaruhi sesiapa sahaja yang terdedah dengan maklumat berkaitan. Isu sensitif terutamanya membabitkan perkauman cuba dieksploitasi oleh kumpulan ekstremis dan pengganas.

Oleh itu, perlu ditegaskan, jangan wujud sebarang pihak di negara ini yang cuba mengeksploitasi isu agama, perkauman, hak-hak istimewa dan institusi diraja. Perkara ini akan memberi ruang dan peluang pihak berkepentingan untuk mencetus pergaduhan dan menyemarakkan aktiviti mengganas dan mencetuskan serangan. Ini kerana, hasil risikan dan maklumat suspek kumpulan militan Negara Islam (IS) yang ditangkap oleh pihak keselamatan sebelum ini, mendapati wujud cubaan untuk melancarkan serangan susulan isu-isu perkauman dan agama yang dipermainkan.

Mungkin kita tanpa sengaja membakar isu sensitif berupa sentimen kaum tetapi dalam masa yang sama, pihak lain menjadikan 'peluang emas', akibat keretakan atau wujud prasangka yang menebal antara kaum atau agama.

Amaran oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada pihak yang menyebar kandungan 3R dalam media sosial amat dialu-alukan. Jangan apabila 'nasi dan menjadi bubur', baru tindakan lewat dilakukan. Ketegasan dan tindakan berstrategi amat diperlukan agar pencetus dan penyebar fitnah 3R tidak bermaharajalela. Pelaku yang melanggar 3R perlu segera dihadapkan ke mahkamah dan mendapat hukuman yang setimpal berdasarkan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

SKMM telah membuat platform baru aduan rakyat melalui talian aplikasi WhatsApp, 016-2206262. Selain menerusi aplikasi tersebut, rakyat juga boleh melaporkan sebarang insiden tersebut menerusi emel kepada mediasosial@mcmc.gov.my. Platform itu akan memudahkan proses bagi mempercepatkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kandungan 3R dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan. Sesiapa sahaja diminta mengambil tangkap layar (screenshot) dan pautan (URL) kandungan yang tidak berhemah dalam media sosial dan hantar ke talian yang disediakan.

Malah bagi kandungan negatif yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp pula, pengadu boleh mengambil tangkap layar berserta nombor telefon individu bagi tujuan aduan. SKMM juga menggesa sesiapa sahaja supaya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau ulasan mengenai perkara-perkara sensitif. Hayatilah erti kemerdekaan dan hormatilah sambutan bulan kemerdekaan yang penuh bermakna ini.

Rakyat Malaysia perlu mengamalkan sikap kesederhanaan ketika mengulas mengenai isu-isu sensitif bagi memelihara keharmonian yang telah negara capai melalui persefahaman yang dibina sejak 62 tahun yang lalu. Jadilah rakyat Malaysia yang matang dalam menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan dengan ancaman yang boleh memecah belah perpaduan demi kemakmuran bersama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!