Bahasa Jawa jadi penghubung, erat hubungan masyarakat Pontian
PONTIAN - Pandai berbahasa Jawa mungkin satu kebiasaan bagi masyarakat Melayu berketurunan Jawa di sekitar daerah ini, tetapi berbeza bagi Tan Poo Heng, seorang peniaga kedai runcit di Pekan Sanglang dekat sini.
Warga emas berumur 73 tahun itu menganggap kemahirannya berbahasa Jawa adalah satu anugerah sekali gus berjaya mengeratkan hubungannya dengan masyarakat sekitar berbilang bangsa dan budaya.
“Saya mempelajari bahasa Jawa sekitar tahun 1970-an. Pada ketika itu, selalu bercampur dengan masyarakat jawa di kampung. Jumpa hari-hari, selalu bertutur bahasa Jawa dari situ pandai berbahasa Jawa.
“Selain itu, orang tua-tua dahulu kalau datang ke kedai tak pandai berbahasa Melayu tapi bercakap bahasa Jawa. Lambat laun faham apa yang mereka katakan,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, mempelajari bahasa baru baginya tidak susah, yang penting perlu ada kemahuan.
“Tiap-tiap bangsa ada bahasa mereka tersendiri. Bila selalu bergaul dengan mereka, senanglah kita nak belajar bahasa mereka,” katanya yang juga mahir berbahasa Melayu, Bugis serta bahasa Inggeris.
Dengan kemahiran itu juga, Poo Heng yang juga generasi ketiga mengendalikan kedai runcit milik keluarga itu dapat bergaul rapat dengan komuniti dan masyarakat sekitar berkunjung ke kedai tersebut untuk membeli keperluan harian.
“Kalau kita jumpa orang Jawa, boleh bertutur bahasa Jawa dengan mereka, hati mereka gembira kerana sama-sama boleh memahami apa yang diceritakan,” katanya yang mesra dipanggil BT oleh penduduk kampung.
Sementara itu, penduduk kampung berhampiran, Zulaimian Kasimen, 49, berkata, dia mengenali BT yang peramah sejak tahun 80-an.
"Pakcik BT seorang yang mesra tak kira bangsa. Kalau ada orang Melayu datang kedai dia cakap Jawa, dia cakap Jawa. Kalau ada orang Melayu datang kedai dia cakap Bugis, dia pun cakap Bugis," katanya.
Seorang lagi penduduk sekitar dari Ayer Baloi, Hairulizan Saat menyifatkan kemahiran Poo Heng bertutur Bahasa Jawa secara tidak langsung merapatkan hubungan sesama kaum. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!