Operasi KLIA kembali normal selepas gangguan sejak Rabu
SEPANG - Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali normal pagi ini selepas mengalami kegagalan peralatan rangkaian sejak Rabu lepas.
Tinjauan Bernama mendapati sehingga 9.30 pagi ini, penumpang kelihatan berurusan seperti biasa, proses mendaftar masuk lancar dan Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) pulih dengan memaparkan maklumat terkini.
Keadaan yang semakin baik itu berikutan penggantian peralatan rangkaian pada 23 Ogos lalu seperti yang diumumkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Bagaimanapun, jurucakap MAHB berkata, sistem itu dilihat ada kemajuan positif selepas penggantian itu, tetapi pasukan masih memantau kestabilannya kerana beberapa isu berkala.
Difahamkan, MAHB akan mengeluarkan kenyataan media petang ini mengenai status terkini keadaan di lapangan terbang itu.
Gangguan teknikal terhadap Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) sebelum ini menyebabkan penerbangan tertangguh, penumpang terpaksa beratur panjang dan berasa kecewa.
Ia juga menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, FIDS, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.
Jumlah Duta Airport CARE juga dilihat berkurangan berbanding sebelum ini. Mereka bekerja sejak gangguan itu berlaku bagi memastikan keselesaan penumpang dan turut mengedarkan makanan kepada penumpang yang beratur panjang.
Tweet daripada Khyun0409 pada 7.45 pagi menyatakan: "Dah okay dah. Me lining up to get ticket now. Klia2 not sure. Klia already back to normal” (Sudah okey. Saya beratur untuk mendapatkan tiket sekarang. Klia2 tidak pasti. KLIA sudah kembali normal).
Seorang lagi pengguna Twitter gunaseelank menulis pada 9 malam tadi:"#MYairportsupdates it’s looking pretty calm and peaceful at KLIA. Just checked in to KLM flight. Thanks @MY_Airports for working hard to get things slowly back to normal" (#MYairportsupdates kelihatan tenang di KLIA. Baru mendaftar masuk ke penerbangan KLM. Terima kasih @MY_Airports kerana bekerja keras dan memastikan operasi kembali normal). - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan sistem KLIA masih belum pulih
Gangguan sistemm di KLIA ditangani kesesakan berkurangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!