Warisan boleh menang besar jika PRK Kimanis diadakan: Mat Sabu
KANGAR - Pakatan Harapan (PH) yakin Parti Warisan Sabah (Warisan) berpeluang menang besar jika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis diadakan.
Timbalan Presiden PH, Mohamad Sabu berkata, sokongan rakyat Sabah terhadap Ketua Menterinya yang juga Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada masa ini sangat kuat, justeru tidak mustahil calonnya akan berjaya merebut kerusi Parlimen itu.
"Saya rasa (calon Warisan) akan menang besar sebab pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu pun, Datuk Karim Bujang kalah sikit saja kepada Datuk Seri Anifah Aman (calon Barisan Nasional [BN]).
"Berdasarkan kemenangan PH pada PRK Parlimen Sandakan (calon DAP menang) juga menunjukkan mereka akan mampu merampas kerusi Kimanis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau, di sini hari ini.
Pada PRU ke-14, Anifah yang juga bekas Menteri Luar memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti 156 undi, dalam pertandingan tiga penjuru.
Beliau memperoleh 11,942 undi berbanding calon Warisan, Karim Bujang dan Jaafar Ismail dari Harapan Rakyat, masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.
Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Ogos memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Anifah Aman adalah tidak sah dan terbatal selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.
Dalam pada itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan membuat keputusan sama ada perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah atau tidak, selepas tamat tempoh 14 hari rayuan.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, Datuk Seri Anifah Aman, mempunyai hak untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh itu selepas Mahkamah Pilihan Raya Sabah membatalkan kemenangannya.
Sementara itu semasa ucapan perasmiannya, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri memandang serius isu perkauman dan kemunculan fahaman yang boleh menyebabkan persengketaan dalam kalangan rakyat.
"Semua perkara ini adalah 'bunga-bunga' kepada 'non-traditional war' seperti yang berlaku di negara-negara Islam yang musnah kerana berperang sesama sendiri.
"Bila ditiupkan fahaman puak dan sering menyalahkan orang lain kononnya hanya kita sahaja betul, boleh sampai ke tahap menghalalkan pertumpahan darah, itu yang kita tidak mahu dan sedang kerajaan bendung sekarang agar ia tidak berlaku di negara ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!