Impak positif Rahmatan Lil Alamin bakal dikecapi menjelang 2020

Mujahid (dua kiri) menyempurnakan majlis perasmian Kelab Berbasikal Kerian sempena Program Kayuhan Rahmah 2019 di dewan terbuka Bagan Tiang, Parit Buntar hari ini.
Mujahid (dua kiri) menyempurnakan majlis perasmian Kelab Berbasikal Kerian sempena Program Kayuhan Rahmah 2019 di dewan terbuka Bagan Tiang, Parit Buntar hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan menjangkakan impak positif perlaksanaan pentadbiran Islam di bawah dasar Rahmatan Lil Alamin akan mula dikecapi menjelang tahun 2020 setelah usaha penerangannya diperluaskan sepenuhnya ke seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, setakat lapan bulan perlaksanaannya, masih terlalu awal untuk rakyat membuat penilaian sama ada dasar ini mampu berjaya menangani isu perkauman selain menyumbang kepada naratif Islam lebih rahmah dan mesra.

Namun, Mujahid yakin pengenalan dasar Rahmatan Lil Alamin merupakan jawapan jangka masa panjang bagi memenuhi usaha memastikan Islam tidak dijadikan tunggangan sehingga segelintir pihak mengambil sikap ekstrem agama dan perkauman.

"Pada masa sama, saya yakin dasar diperkenankan Yang Dipertuan Agong itu akan membolehkan orang bukan Islam merasakan mereka merupakan sebahagian daripada pembangunan negara tanpa dipisahkan sebagai segmen lain.

"Tidak dinafikan terdapat tiga cabaran yang agak membantutkan usaha menjayakan dasar Rahmatan Lil Alamin iaitu kecaman golongan pesimistik, persepsi media dan serangan golongan ektremis perkauman dan agama.

"Namun, saya fikir cara terbaik untuk menghadapi ancaman tiga golongan ini adalah dengan meningkatkan lagi usaha menjayakan dasar Rahmatan Lil Alamin sehingga rakyat negara ini secara keseluruhannya menyedari perlaksanaannya benar-benar membawa perpaduan kepada masyarakat majmuk di negara ini tanpa mengancam kedudukan Islam dan bumiputera," katanya pada siang akhbar se dalam Program Kayuhan Rahmah Merdeka dan Pelancaran Kelab Berbasikal Kerian di Dewan Terbuka Bagan Tiang, di sini hari ini.

Mujahid berkata, berdasarkan statistik dan data penganjuran kempen mempromosi dasar Rahmatan Lil Alamin, lebih 20,000 rakyat Malaysia di seluruh negara berjaya didekati dan diberi kefahaman mengenai dasar itu menerusi penganjuran Program Rahmah, sesi pembentangan maqasid syariah, Duta Rahmah dan jelajah kampus.

Menurutnya, di peringkat pentadbiran negeri, hanya negeri Sabah, Johor dan Terengganu yang belum diberi penerangan oleh pihaknya manakala di peringkat kementerian, sebanyak 10 kementerian sudah memahami aspirasi dasar Rahmatan Lil Alamin dan bersedia melaksanakannya.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, kita tidak terganggu dengan ancaman tiga golongan yang cuba membantutkan aspirasi dibawa kerajaan susulan setiap program direncana secara terancang dan berpandangan jauh.

"Kita juga berharap menjelang tahun 2020, dasar pentadbiran Islam berasaskan Rahmatan Lil Alamin akan sudah tersebar luas di seluruh negara dan mencapai objektifnya iaitu memenuhi naratif kerajaan Islam lebih rahmah dan mesra serta memacu perpaduan bangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!