Lelaki maut kereta terbabas, jatuh bawah jambatan
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan lalu terjatuh di bawah jambatan kereta api di Kilometer 17, Lebuhraya Pasir Gudang- Perling arah Perling, di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Tey Jia Liang, 19, beralamat Taman Skudai Baru di sini, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi dari arah Pasir Gudang ke Perling hilang kawalan ketika di lorong kanan jalan.
"Mangsa kemudiannya melanggar penghadang jalan di bahagian kanan jalan dan terjatuh di bawah jambatan kereta api.
"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd Taib berkata, siasatan lanjut masih lagi diteruskan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, komander operasi kes itu, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam jam 3.05 pagi.
"Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin bergegas ke tempat kejadian untuk memberi bantuan.
"Pihak bomba mengambil masa kira-kira sembilan minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!