Tabika Kemas bukan hanya tempat main, makan
SHAH ALAM - Masyarakat perlu membuang persepsi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) hanya untuk main dan makan kepada sebuah institusi yang menerapkan kaedah pengajaran dan pembelajaran terbaik untuk kanak-kanak.
Exco Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail berkata, penerapan sistem pengajaran yang lebih mantap menjadikan Tabika Kemas semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
"Jika sebelum ini ada yang menganggap Tabika Kemas sekadar tempat main dan makan, namun secara perlahan persepsi tersebut berjaya ditangkis dan ironinya saya melihat ibu bapa mula beralih daripada menghantar anak mereka dari tadika swasta ke Kemas.
"Sehubungan itu pelbagai kaedah yang dilaksanakan kerajaan dalam memastikan Tabika Kemas sentiasa menekankan kaedah terkini," katanya selepas melancarkan Printis Kemas daerah Petaling di sini.
Dalam pada itu, menurutnya, Printis yang juga produk anak muda berpendidikan tinggi adalah alat bantuan mengajar tambahan menggunakan aplikasi dan kawalan jauh.
"Printis membantu menyumbang alat pembelajaran tambahan. Inisiatif yang dilaksanakan itu sebagai usaha dan suntikan kepada pihak Kemas untuk meningkatkan tahap pembelajaran kanak-kanak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!